Skuad Futsal Selangor beraksi cemerlang untuk menundukkan kelab gergasi China, Shenzhen Nanling Tielang 6-5 pada aksi kedua Imane Unity Cup 2025 yang berlangsung di Imane Stadium, Daerah Pran Buri, Thailand sebentar tadi.

Kemenangan penting dilakarkan anak buah Edgar Eder Baldasso itu meletakkan Selangor kini ditangga teratas dengan empat mata dimana mereka seri 4-4 pada aksi pertama semalam menentang tuan rumah, Blackpearl United.

Baca Juga:

Selangor tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Vitor Fernando Dos Santos mudah menolak masuk bola hasil hantaran cantik rakan senegaranya, Evandro Borges seawal minit kedua.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Shenzhen Nanling memperkemaskan aksi dan berjaya mendapatkan tiga gol menerusi Kaisaier Taximaimaiti (minit keenam), Yimamu Yimuran (minit kesembilan) dan Rafael pada minit ke-13.

Melihat kesukaran buat anak buahnya untuk memburu jaringan, Edgar menggunakan taktikal ‘Power Play’ dan ia nyata membuahkan hasil.

Taktikal tersebut membolehkan Evandro mendapatkan dua jaringan pantas pada minit ke-15 dan ke-16 untuk kembali mengikat kedudukan 3-3.

Selangor
Khairul Effendy Bahrin (jersi 9). Kredit Foto: Blackpearl United

Berselang dua minit selepas aksi babak kedua bersambung, Evandro melengkapkan hatrik dengan merampas bola dari kaki pemain lawan dan kemudiannya melakukan percubaan yang menewaskan penjaga gol, Zhu Bei.

Kelebihan itu bagaimanapun hanya bertahan tiga minit apabila Chen Ziheng pula menolak masuk bola hasil situasi sepakan ke dalam untuk kedudukan kembali terikat.

Permainan Power Play dimainkan Selangor terus memberikan hasil buat mereka dimana hantaran lintang Victor ditolak masuk ketua pasukan, Khairul Effendy Mohd Bahrin pada  minit ke-31.

Empat minit kemudian, semangat barisan pemain Selangor terus membara dengan jaringan keenam oleh Faris Johan susulan rembatan kaki kiri yang melalui celah kaki Zhu Bei.

Shenzhen Nanling cuba untuk bangkit dengan jaringan sendiri Khairul Effendy ketika permainan power play pada minit ke-39 tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan penting buat Selangor.

Selangor Berpeluang Raih Kejuaraan

Selangor perlu mencatatkan kemenangan pada perlawanan bertemu satu lagi pasukan dari Thailand iaitu Thammasat Stallion pada jam 4.00 petang esok untuk mencerahkan peluang meraih kejuaraan Imane Unity Cup 2025.