Skuad futsal Selangor terus mempamerkan aksi cemerlang dalam kejohanan Ho Chi Minh City Futsal Open 2023 selepas berjaya menundukkan Black Pearl United 5-2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Lanh Binh Thang sebentar tadi.

Berdepan lawan yang menamatkan saingan Liga Futsal Thailand 2023 di kedudukan kedua itu langsung tidak menggentarkan anak-anak buah Edgar Eder Baldsso itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Sebaliknya, serangan pantas yang dijelmakan pemain Selangor seringkali memberikan kesukaran buat Black Pearl United terutamanya menerusi duo Brazil, Wellington Pereira Rodrigues Adao dan Matheus Vasconcelos Silva.

Selain itu ketangkasan yang dijelmakan penjaga gol Selangor, Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln dalam menggagalkan deretan percubaan lawan turut menjadi topik utama pada perlawanan kedua ini.

Gol pembukaan Selangor terhasil menerusi tolakan mudah Well yang menerima hantaran lintang berkualiti daripada Matheus.

Pemain kebangsaan, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan menjadikan kedudukan 2-0 hasil rembatan padu yang menewaskan penjaga gol lawan, Pairat Phobnak berpunca daripada satu serangan balas pantas yang cukup menarik.

Skuad kendalian Jurandir Dutra De Azeredo itu berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi Lucas Britto yang mengambil kesempatan berikutan  kesilapan Well di kawasan sendiri.

Kedudukan itu tidak bertahan lama selepas Selangor menambah jaringan ketiga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Well untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Sepakan itu diberikan berikutan kekasaran dilakukan pemain import, Nene terhadap Khairul Effendy Bahrin dalam kawasan D.

Matheus mengukuhkan lagi kedudukan sebaik sahaja babak kedua bersambung selepas beliau melakukan tolakan mudah setelah menerima umpanan daripada sepakan ke dalam oleh Well.

Tidak sampai seminit kemudian, Well melengkapkan hatrik menerusi ledakan padu yang tidak mampu diselamatkan penjaga gol kedua Black Pearl, Arun Senbat.

Terdesak untuk mendapatkan jaringan, Black Pearl menggunakan taktikal ‘Power Play’ dan ia membuahkan hasil apabila Kitsana Kingkangwan menjaringkan gol kedua.

Usaha mereka selepas itu tidak membuahkan hasil yang menyaksikan pemain Selangor kental bertahan untuk memastikan kemenangan kedua diraih bagi terus berada di tangga teratas kumpulan B.

Kemenangan pertama skuad futsal Selangor diraih semalam yang menyaksikan mereka berjaya menundukkan Sanvinest Khanh Koa dari Vietnam dengan keputusan 3-0.