Daripada seorang remaja yang sebelum ini dikenali sebagai prospek masa depan, kini Syahir Iqbal Khan Akbar Khan sudah membuktikan dirinya sebagai bintang sebenar futsal Malaysia.
Dengan usia hanya akan mencecah 20 tahun pada 29 September nanti, anak kelahiran Kelantan ini merupakan tunjang kekuatan buat skuad futsal Selangor.
Baca Juga:
- Tiada Belas Kasihan, Selangor ‘Ratah’ Pahang Rangers 13-3 Untuk Takluk Piala Futsal Malaysia 2025

- Piala Futsal Malaysia 2025: Senarai Pasukan Ke Separuh Akhir

- Imane Unity Cup 2025: Skuad Futsal Selangor Tundukkan Kelab Gergasi China

Malah aksi penuh bertenaga ditampilkan Syahir Iqbal pada Sabtu lalu menyaksikan beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Final Piala Futsal Malaysia 2025.

Syahir Iqbal cemerlang dengan ledakan padu dua gol untuk membantu Selangor mencipta sensasi membelasah Pahang Rangers 13-3 di Stadium Tertutup Arena N9, Nilai.
Penghijrahan Syahir Iqbal dari Kelantan Ke Selangor Bawa Hasil
Sangat meminati bola sepak sejak di bangku sekolah, Syahir Iqbal merupakan produk SMK Putera, Kota Bharu yang merupakan sebuah sekolah berstatus Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kelantan.
Ketika Kelantan mula menyertai saingan MPFL 2022, bakat Syahir yang masih di tingkatan lima pantas dikesan jurulatih Qusmaini Noor Rusli untuk memberikan ruang buatnya dalam sukan futsal.
Dari situlah bermulanya perjalanan serius Syahir dalam dunia futsal dengan penerapan metodologi futsal moden yang membantu membentuk asas kukuh permainannya.
Berhijrah ke Selangor pada usia 17 tahun pula menjadi titik perubahan terbesar dalam karier Syahir Iqbal.
Dibimbing jurulatih Brazil, Edgar Eder Balsso, Syahir semakin matang bukan sahaja dalam aspek taktikal tetapi juga dalam mengendalikan tekanan perlawanan kompetitif.

Daripada Prospek Negara Ke Bintang Utama
Kematangan Syahir tidak sekadar membantu Selangor, malah telah memikat hati jurulatih kebangsaan, Rakphol Sainetngam yang menyenaraikannya untuk kelayakan Piala Futsal Asia 2024 pada 7–13 Oktober 2023 di Uzbekistan.
Syahir pantas membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa apabila meledak lima gol walaupun Malaysia tidak berjaya melangkah ke pusingan akhir Piala Futsal Asia 2024.
Beliau kemudiannya meledak dua gol ketika menentang Thailand serta satu lagi jaringan ketika berdepan Afghanistan dalam siri aksi persahabatan di Bangkok serta aksi meyakinkan ketika Kejuaraan Futsal AFF 2024.
Kini, hampir dua tahun selepas penampilan sulungnya bersama skuad negara, Syahir telah berkembang dengan cukup pantas dalam menjadi pemain utama Selangor dan Malaysia.
Beliau mempunyai pakej serba lengkap berbekalkan kepada kemampuannya dalam menyudakan peluang untuk menjaringkan gol, menggerakkan jentera serangan pasukan serta tampil tenang di bawah tekanan.

Bintang Masa Depan Futsal Malaysia
Kejayaan terbaru menjulang Piala Futsal Malaysia 2025 bersama Selangor sekaligus mengesahkan kedudukan Syahir sebagai antara prospek paling bersinar dalam futsal Malaysia.
Pada usia muda, Syahir Iqbal sudah menunjukkan kepimpinan di dalam gelanggang, ketajaman di depan gol dan kematangan permainan yang melangkaui usianya.
Dengan perjalanan karier yang masih panjang, Syahir Iqbal dilihat berpotensi untuk menjadi bintang utama futsal negara, malah wajah baharu yang mampu memacu kegemilangan Malaysia di pentas Asia.