Sabah yang berwajah baharu dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 bermula dengan langkah kanan selepas berjaya menundukkan juara dua kali, Selangor 3-2 pada aksi pembukaan, sebentar tadi.

Penyokong yang membanjiri Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam jelas disajikan dengan aksi berintensiti tinggi oleh barisan pemain kedua-dua pasukan.

Baca Juga:

Sabah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit keempat apabila pemain import kelahiran Brazil, Felipe Leite menolak masuk bola selepas menerima hantaran lintang Wan Abdul Raziq Wan Zulhasmi.

Aksi kemudiannya bertambah menarik dengan aksi saling berbalas serangan ditampilkan dengan beberapa percubaan Selangor hanya singgah di palang gol.

Malah, jaringan Selangor menerusi Syahir Iqbal Khan Akhbar Khan dibatalkan kerana terdapat kekasaran dilakukan terhadap penjaga gol Sabah, Mohammad Faezwan Ashwandie Ahmad.

Kredit Foto: FAM

Sebaik sahaja aksi babak kedua bermula, Selangor kembali menyamakan kedudukan menerusi Syed Aizad Daniel Syed Nasir.

Tujuh minit kemudian, Felipe sekali lagi membuktikan kemampuannya setelah rembatannya daripada luar kawasan D berjaya menewaskan penjaga gol Selangor, Syawal Sabaruddin bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Selangor yang berterusan memberikan ancaman ke kubu Sabah kembali menyamakan kedudukan hasil percubaan kaki kiri pemain kebangsaan, Muhammad Faris Mohd Johan pada minit ke-34.

Kegembiraan tuan rumah itu bagaimanapun hanya bertahan seminit apabila Ahmad Azim Mohammad muncul wira buat Sabah selepas beliau menolak masuk bola ketika situasi sepakan penjuru.

Jaringan yang cukup penting bagi menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad kendalian Patt Sriwijit itu pada perlawanan sulung ini.