Nama Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin atau mesra dengan panggilan Ayon ini sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kancah futsal tanah air.
Kapten skuad futsal Selangor itu masih lagi mampu menjelmakan magisnya walaupun bakal menjengah usia 38 tahun pada 3 Disember nanti.
Baca Juga:
- Ini Lima Langkah Utama Untuk Meningkatkan Prestasi Futsal Malaysia Di Peringkat Antarabangsa

- Media Luar Negara Puji Axiata Arena Sebagai Gelanggang Final Piala Futsal Malaysia 2024

- Berada Di Pot 2 Kelayakan, Malaysia Berpeluang Cerah Layak Ke Piala Asia Futsal 2026

Dengan pengalaman hampir dua dekad dalam arena futsal, Khairul Effendy bukan sahaja menjadi watak penting di sebalik kejayaan pasukan-pasukan yang pernah diwakilinya.
Malah, beliau turut berperanan besar dalam membentuk mentaliti juara dan menjadi lambang kegigihan yang meresap dalam jiwa pemain-pemain muda.

Karier Hebat Khairul Effendy Bahrin
Memulakan karier sejak zaman awal kebangkitan futsal Malaysia dengan menyarung jersi KL Figos RSA, Khairul Effendy turut pernah menyumbang keringat buat PKNS FC, Melaka United, Pahang Rangers dan kini Selangor.
Beliau juga berpeluang membuktikan kemampuannya di luar negara apabila beraksi bersama SKN Kebumen dalam saingan Liga Pro Indonesia 2018 dan Victory City FC serta Bangkokthonburi University FC (Kelayakan Divisyen 1 Thailand).
Ketika ramai rakan seangkatan telah menggantung kasut dan bergelar jurulatih, beliau masih kekal kompetitif dan menjadi pilihan utama jurulatih selain bertindak selaku pencetus semangat buat rakan sepasukan.
Bangkit daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialami pada 2023, Khairul Effendy jelas berjaya tampil dengan lebih garang.
Kemampuan hebat dimilikinya, beliau berjaya meledakkan 13 gol pada musim ini walaupun pasukanya memiliki peledak berbisa seperti Vitor Fernandes, Evandro Borges dan Syahir Iqbal Khan.
Selain sentuhan klinikal masih mampu dijelmakan, kepimpinan semula jadinya di atas gelanggang sering diterjemahkan dalam bentuk aksi bertenaga, komunikasi efektif serta keberanian mengambil tanggungjawab ketika pasukan berdepan tekanan.
Tidak perlu untuk diceritakan tentang kejayaan kerana begitu banyak pencapaian hebat dilakarkan bapa kepada tiga orang cahaya mata ini sepanjang karier hebatnya.

‘Living Levend’ Futsal Negara
Di luar gelanggang pula, Khairul dikenali sebagai figura yang merendah diri serta mudah didekati.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan futsal tempatan, tidak keterlaluan untuk menyebut bahawa Ayon adalah salah satu ikon sejati sukan ini bersandarkan kepada lambang dedikasi, disiplin dan cinta yang mendalam terhadap futsal.
Kini, menjelang usia yang kebiasaannya dianggap ‘senja’ bagi atlet profesional, Ayon masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu berundur.
Sebaliknya, beliau terus menjadi nadi utama Selangor dan bukti hidup bahawa dengan semangat dan komitmen yang tinggi, usia hanyalah angka semata-mata.