Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino dilaporkan telah menetapkan tarikh akhir 19 September kepada kesemua 211 persatuan bola sepak negara untuk meluluskan cadangan pelan pelaburan swasta yang dikemukakannya.

Sokongan yang diberikan membolehkan setiap persatuan menerima pembiayaan sehingga $40 juta (sekitar RM170 juta).

Menurut sumber ESPN, surat yang dihantar kepada semua persatuan ahli gabungan itu hadir susulan bantahan terhadap cadangan berkenaan dan UEFA dikatakan sedang mempertimbangkan beberapa pilihan, termasuk kemungkinan memboikot Piala Dunia.

Hal ini kerana mereka mendakwa FIFA gagal mengadakan proses perundingan yang sewajarnya serta mengabaikan aspek tadbir urus.

Infantino menjelaskan dalam surat itu bahawa pakej pembiayaan bernilai $10 bilion (kira-kira RM42.4 bilion) akan disediakan sekiranya pelan tersebut diluluskan, berbanding hanya $2.7 bilion (sekitar RM11.4 bilion) jika ia ditolak.

Infantino Tetap Dengan Pendirian

Dalam surat yang sama, Infantino menyifatkan cadangan itu sebagai ‘peluang pembiayaan yang unik dan tidak akan berulang’, sambil memperincikan hasratnya untuk menubuhkan sebuah anak syarikat FIFA bernilai $20 bilion (sekitar RM84.8 bilion), dengan 20 peratus pegangan dimiliki oleh pelabur swasta, yang akan mengendalikan kejohanan-kejohanan anjuran badan induk bola sepak dunia itu seperti Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab.

Cadangan itu disokong oleh Thrive Capital, firma pelaburan yang diasaskan oleh Joshua Kushner. Joshua merupakan adik kepada Jared Kushner, menantu kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Menjadi tanggungjawab dan kewajipan saya sebagai Presiden FIFA untuk membentangkan peluang yang mampu mengubah landskap bola sepak ini kepada anda semua, selaku ahli-ahli FIFA,” ujar Infantino.

Jumlah pembiayaan yang dicadangkan itu merangkumi sehingga $20 juta (kira-kira RM85 juta) menerusi dana sekali bayar Fast Forward, selain tambahan $20 juta lagi di bawah dana pembangunan FIFA Forward bagi kitaran 2027 hingga 2030. Secara keseluruhan, setiap persatuan ahli gabungan berpotensi menerima pembiayaan sehingga $40 juta.

Melihatkan kepada perkembangan tersebut, UEFA yang diketuai Aleksander Ceferin menolak sekeras-kerasnya usaha itu dan mahu memanggil 55 persatuan ahlinya ke satu mesyuarat dalam talian tergempar.

Sumber