Satu laporan melaporkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mula memantau platform media sosial dan e-dagang milik pempengaruh (influencer) serta usahawan digital setiap hari untuk mengesan dan memastikan golongan terbabit tidak ‘lari’ daripada membayar cukai.

Pemantauan itu dibuat menerusi Seksyen Audit Ekonomi Digital, unit khas yang ditubuhkan baru-baru ini khusus untuk memantau aktiviti influencer dan usahawan digital yang didakwa hidup mewah tetapi tidak membayar cukai.

Baca Juga:

Antara golongan yang dipantau agensi pengutip cukai itu adalah aktiviti perniagaan pengasas produk kosmetik, peniaga mata wang asing, mata wang kripto, emas, influencer, Tiktoker, Instafamous, YouTuber dan pekerja ekonomi gig.

Kerajaan berpotensi kehilangan sehingga RM2 bilion setiap tahun berikutan masih ada influencer dan usahawan digital yang culas membayar cukai pendapatan meskipun meraih pendapatan lumayan menerusi platform maya, petik Berita Harian (BH).

Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak, berkata jumlah berkenaan tidak mustahil memandangkan sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, model perniagaan inovatif berkenaan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

“Dianggarkan kerajaan kehilangan sekitar RM1 bilion hingga RM2 bilion setahun disebabkan perkara ini. Sememangnya, ramai yang melaksanakan perniagaan secara dalam talian menggunakan pelbagai platform.

“Ia belum termasuk lagi pempengaruh yang meraih pendapatan lumayan menerusi media sosial,” katanya kepada BH.

LHDN juga melaksanakan inisiatif dikenali ‘nudging‘, yang mana Seksyen Audit Ekonomi Digital akan memberi peringatan berhubung tanggungjawab pembayar cukai di ruangan komen media sosial milik pempengaruh dan usahawan digital yang dikenal pasti ‘lari’ daripada membayar cukai.