Selalunya, kalau sebut flat kos rendah, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah lif rosak atau parkir yang berselerak.

Namun, seorang rider penghantar makanan baru-baru ini terkedu apabila sampai di sebuah pangsapuri di Sungai Besi. Bukan kerana sambutan luar biasa, tetapi kerana sistem ‘cashless’ di pintu masuk yang nampak lebih ‘high-tech’ serupa kondo mewah.

Ingat Kondo Mewah Je? Rider Tergamam Lihat Pangsapuri Kos Rendah Sudah Guna Sistem 'Cashless'
Sumber Gambar: FB

“Tak boleh brain betul,” luah rider tersebut yang pelik macam mana pengurusan perumahan kos rendah boleh ada sistem macam kondo mewah, sedangkan fasiliti lain nampak macam ‘hidup segan mati tak mahu’.

Boleh lihat dari gambar yang diberikan, rupa luaran flat yang dimaksudkan serta gambar terminal sistem digital cashless yang digunakan untuk pintu akses kenderaan keluar dan masuk.

Terdapat sokongan pembayaran termasuk MyDebit, Visa, MasterCard dan Touch’ n Go.

Rider itu baru pertama kali datang menghantar pesanan di kawasan tersebut dan menyangka perlu membuat pembayaran sebaik masuk ke situ.

Hal itu membuatkan dia sedikit geram dengan sistem berkenaan kerana pasti bakal menjejaskan pendapatan harian secara tidak langsung.

Langkah drastik pihak pengurusan ini bukan sahaja menimbulkan pelbagai reaksi netizen, malah membuka mata ramai pihak tentang bagaimana teknologi digital kini mula meresap masuk ke setiap pelosok komuniti.

Ada netizen melihat ia sebagai langkah proaktif yang terpaksa dilakukan oleh pihak pengurusan susulan kegagalan sebahagian penduduk yang gagal melunaskan caj penyelenggaraan untuk fasiliti yang tersedia.

Sementara itu, netizen juga berseloroh disebabkan sifat pentingkan diri sendiri oleh penduduk, habis orang luar pula perlu menanggung kos penyelenggaraan walaupun hanya datang membuat penghantaran atau bertandang ke rumah rakan seketika.

Tentang pembayaran, rider lain yang pernah ke situ mendedahkan 30 minit pertama adalah percuma untuk akses masuk dan selebihnya barulah dikenakan caj.

Bagaimanapun, ada rider yang berpendapat ia sebagai sesuatu yang melecehkan jika mereka perlu menghantar 2-3 pesanan yang berlainan blok di tingkat tinggi sekaligus akan memakan masa yang lama.

Apa pula pandangan anda tentang implementasi sistem parkir digital seperti di kawasan kediaman?