Kalau tiba-tiba dapat SMS yang nampak macam daripada bank, syarikat penghantaran atau mana-mana organisasi rasmi, jangan terus klik pautan yang diberikan.

Ini kerana sindiket penipuan kini dipercayai menggunakan teknologi Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) untuk menghantar SMS scam kepada orang ramai.

Terbaharu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu lagi sindiket yang disyaki menjalankan kegiatan tersebut dalam operasi di sekitar Johor Bahru pada Khamis, 6 Ogos lalu.

Lelaki 65 tahun ditahan, guna kereta dilengkapi ‘Fake BTS’

Dalam operasi berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun ditahan selepas disyaki menggunakan sebuah kenderaan yang dilengkapi peralatan Fake BTS.

Bagi yang tak pernah dengar istilah ini, Fake BTS merupakan peralatan yang boleh memancarkan isyarat Radio Frekuensi (RF) bagi menyamar sebagai stesen pangkalan rangkaian mudah alih yang sah.

Teknologi tersebut dipercayai digunakan untuk membolehkan SMS yang mengandungi pautan penipuan dihantar kepada pengguna.

Lebih menarik perhatian, sindiket ini dipercayai bergerak di kawasan tumpuan awam, khususnya ketika waktu puncak.

Antara sasaran yang dipercayai diberi perhatian ialah pengguna yang berulang-alik antara Johor Bahru dengan Singapura.

Peralatan GSM, telefon dan sebuah kereta disita

Hasil pemeriksaan, MCMC menyita beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

Antaranya ialah dua unit telefon bimbit, satu kad SIM, satu modul GSM, satu antena dan sebuah kenderaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Bukan kali pertama, 6 Operasi ‘Fake BTS’ sudah dijalankan tahun ini

Operasi terbaru ini menyusuli kejayaan MCMC menumpaskan satu lagi sindiket Fake BTS di Johor Bahru pada Julai lalu.

Malah, sepanjang tahun 2026 sehingga kini, MCMC telah melaksanakan enam operasi membanteras kegiatan Fake BTS.

Daripada jumlah tersebut, tiga operasi dijalankan di Johor manakala tiga lagi di Genting Highlands.

Hasil daripada keseluruhan operasi itu, seramai lima individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Lima modul Global System for Mobile Communications (GSM) turut disita.

MCMC ingatkan orang ramai jangan terus klik link dalam SMS

MCMC memandang serius penyalahgunaan teknologi dan infrastruktur komunikasi bagi tujuan penipuan.

Kerjasama dengan PDRM dan agensi penguat kuasa berkaitan juga akan terus diperkukuh bagi mengesan, membanteras serta menghalang kegiatan seperti ini.

Bagi orang ramai pula, MCMC menasihatkan supaya sentiasa berwaspada apabila menerima SMS yang mencurigakan.

Kalau ada SMS yang tiba-tiba suruh anda klik link, buat bayaran atau masukkan maklumat peribadi, jangan terus percaya walaupun mesej tersebut nampak meyakinkan.

Jangan klik sebarang pautan yang diterima melalui SMS mencurigakan dan elakkan berkongsi maklumat perbankan atau maklumat peribadi sebelum membuat pengesahan melalui saluran rasmi.

Kalau rasa ada yang tak kena, lebih baik semak dahulu.