Manchester United ada alasan tersendiri untuk tidak memberikan peluang kepada JJ Gabriel menjadi pemain dalam skuad utama.

Pemain itu masih diletakkan di pasukan remaja. Man United mahu mengendalikan pembangunannya dengan sebaik mungkin.

Barisan kejurulatihan di Man United dilaporkan mempunyai pandangan bahawa JJ Gabriel masih belum mencapai tahap fizikal yang diperlukan untuk bermain secara konsisten di peringkat senior.

Menurut laporan BBC, pandangan itu bagaimanapun ditolak oleh sumber yang rapat dengan pemain berusia 15 tahun tersebut.

Kem Gabriel terutama sekali ayahnya, dikatakan mempersoalkan keputusan Manchester United untuk tidak memberikan peluang lebih besar kepada pemain muda itu, terutama selepas melihat bagaimana kelab lain berani menurunkan pemain remaja dalam pasukan utama.

Arsenal sebelum ini memberikan Max Dowman peluang beraksi ketika berusia 15 tahun, manakala Bayern Munich turut memberikan Lennart Karl penampilan senior ketika berusia 17 tahun.

Situasi itu menyebabkan kem Gabriel mempersoalkan mengapa Manchester United tidak melakukan perkara sama terhadap pemain yang mereka sendiri anggap sebagai antara bakat paling menarik di akademi Carrington.

Gabriel sebelum ini hanya mendapat lapan minit bersama pasukan utama Manchester United ketika aksi pramusim menentang Atletico Madrid di Stockholm.

Namun aksi pra musim tidak sama dengan aksi musim sebenar.

Dia turut dibawa menyertai beberapa kem pasukan utama, namun tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Rosenborg walaupun Manchester United menggunakan 11 pemain gantian.

Malah, ketika pemain berusia 18 tahun, Tynan Thompson diberikan penampilan sulung selama 45 minit menentang Leeds United, Gabriel yang turut berada dalam rombongan tidak beraksi.

Keadaan itu menjadi semakin rumit selepas Gabriel dilaporkan meminta untuk meninggalkan Manchester United.

Kelab kini masih berusaha untuk meyakinkan pemain muda tersebut supaya meneruskan kariernya di Old Trafford.