Pengurus kelahiran Belanda, Arne Slot kini berstatus ejen bebas selepas berpisah dengan Liverpool pada penghujung musim lalu.
Walaupun difahamkan beliau merupakan antara calon untuk mengisi kekosongan sebagai pengurus skuad kebangsaan Belanda, Slot dilihat masih belum bersedia untuk mengambil alih peranan tersebut.
Pengendali berusia 47 tahun itu menegaskan bahawa beliau mahu terus melatih pasukan dengan ‘setiap hari’, sekali gus menafikan cadangan bahawa beliau mungkin beralih ke bidang pengurusan pasukan kebangsaan.
Slot menjadi jurulatih ketujuh dalam sejarah Liga Perdana Inggeris yang berjaya memenangi kejuaraan pada musim pertamanya dalam saingan tersebut apabila beliau membawa Liverpool menjulang trofi pada musim 2024/25.
Bagaimanapun langit tidak sentiasa cerah buat beliau apabila melalui musim kedua yang sukar di Anfield sebelum dipecat pada penghujung kempen.
Slot Belum Bersedia Bimbing Belanda
Sehubungan dengan itu, Slot turut dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih Belanda yang ketika itu kosong selepas Ronald Koeman berundur susulan kegagalan Oranje daripada Piala Dunia.
“Pada tahap kerjaya saya ketika ini, saya lebih gemar melihat diri saya berada di padang latihan bersama para pemain setiap hari,” ujar beliau menurut sumber laporan beIN Sports.
“Sesuatu yang sememangnya tidak dapat dilakukan dengan cara yang sama apabila mengendalikan pasukan kebangsaan.”
“Sudah tentu menjadi satu penghormatan besar untuk mewakili negara saya sebagai ketua jurulatih suatu hari nanti. Namun, ini bukanlah masa yang tepat untuk saya.”