Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John mendedahkan pendekatan yang perlu dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar tidak menerima hukuman lebih berat daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Desas-desus sebelum ini mengatakan FAM boleh menerima hukuman lebih berat seperti digantung sekiranya keputusan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tidak memihak mereka.

Menurut sumber laporan Harian Metro, Windsor menggariskan langkah paling penting yang perlu diambil ketika ini adalah perlu menerima cadangan penilaian dan penambahbaikan bakal diberikan oleh AFC.

Hal ini kerana pihak FIFA telah memberi mantap kepada AFC untuk membantu segala urus tadbir melibatkan badan induk bola sepak tanah air itu.

Ini FAM Perlu Lakukan

“Sebelum kita buat proses ini, saya sudah bincang dengan FIFA untuk buat pemulihan di FAM. Jadi, FIFA tidak akan campur tangan selepas ini. FIFA akan memantau, tetapi mandat diberi kepada AFC untuk bantu FAM.”

“Namun ada syaratnya. FAM kena setuju. Apa-apa perubahan yang kita cadangkan, perlu diterima demi kebaikan bola sepak. Selagi FAM bersetuju dengan semua perubahan, risiko [digantung] itu tiada.”

“Apa yang penting perubahan mesti drastik. Jika mereka patuhi segala perubahan dan pembaikan yang dicadangkan, tiada masalah.”

“Penggantungan bukan hukuman, itu orang tak faham. Ia untuk pembaikan. Tetapi kalau boleh buat pembaikan tanpa gantung, itu lebih baik dan itulah yang kita sedang buat sekarang.”

“Bayangkan kalau gantung, mesti ambil masa tiga atau empat bulan sebelum normalisasi. Dalam tempoh itu, kita tak boleh main pertandingan antarabangsa. Tiada faedah yang lebih besar jika berlaku penggantungan,” tambah beliau lagi bercakap kepada Harian Metro.

Sumber