Pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengambil tindakan pantas dalam usaha untuk memastikan agar insiden bumbung bocor di Axiata Arena, Bukit Jalil tidak berulang.
Seperti dilaporkan semalam, aksi di gelanggang 2 dan 3 saingan Terbuka Malaysia 2025 terpaksa ditangguhkan hampir empat jam selepas air hujan menitik di atas gelanggang.
Baca Juga:
- Bumbung Axiata Arena Bocor Ganggu Kelancaran Terbuka Malaysia 2025
- Qatar Sindir Jerman Ekoran Isu Peminat Bergaduh, Stadium Bocor
- Selepas Kalah 0-3, Sidang Media Amorim Terganggu Kerana Bumbung Bocor
Selepas segala usaha dilakukan, hanya gelanggang 2 dapat digunakan kembali dan baki perlawanan semalam terpaksa diadakan pada hari ini.
Sehubungan dengan itu, pihak PSM menerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Illiyas Jamil tampil memberikan kenyataan berhubung insiden bumbung bocor itu dan mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya dalam baki saingan Terbuka Malaysia hingga Ahad nanti.
“PSM dan kontraktor akan menyediakan lebih 10 orang kakitangan untuk bersedia di bumbung selepas ini sepanjang kejohanan berlangsung bagi memastikan insiden ini tidak berulang lagi.”
“Pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) dan kontraktor juga memberi kerjasama untuk membuat kerja-kerja yang bersesuaian dan ianya sedang berjalan.”
“PSM telahpun mengenalpasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan menyegerakan kerja-kerja yang perlu dilakukan,” tambah Illiyas lagi.
Malah, kerja-kerja untuk mengalirkan air ke tempat lain juga sudah dilakukan sebaik sahaja masalah tersebut dihadapi.
Selain itu, Illiyas turut mengakui masalah kebocoran pada bumbung Axiata Arena adalah kerana proses penggantian bumbung lama (tidak perlu dilakukan sejak 1998) kepada yang baharu telah dibuat pada pertengahan 2024.
Proses penukaran bumbung oleh pihak JKR dilaksanakan oleh kontraktor dilantik JKR mengambil masa setahun melalui kaedah yang tidak perlu untuk menutup Axiata Arena bagi penganjuran sebarang acara.
Sejak pertengahan tahun 2024 sehingga kini, tiada sebarang kebocoran berlaku di kawasan arena.