Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac menepis dakwaan bahawa foto yang sedang tular di media sosial adalah keadaan semasa padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Seperti diketahui umum, terdapat satu foto menerusi rakaman dron di salah satu akaun Youtube telah memaparkan keadaan padang SNBJ masih lagi dalam keadaan teruk.
Baca Juga:
- Rakaman Dron Dedah Keadaan Padang SNBJ Tular Di Media Sosial
- FAM Yakin Padang SNBJ Akan Pulih Lebih Cantik
- Kim Pan Gon Tidak Puas Hati Dengan Keadaan Terkini Padang SNBJ
Keadaan padang yang teruk itu berlaku berikutan penganjuran konsert Ed Sheeran pada 24 Februari lepas.
Menurut pemilik akaun YouTube tersebut, rakaman dron itu diambil pada 12 Mac lalu iaitu 15 hari sebelum aksi Malaysia menentang Oman pada 26 Mac ini.
Perkembangan terkini yang membuatkan peminat bola sepak tanah air berang dengan keadaan tersebut dan pastinya Hans Issac menjadi sasaran utama beliau.
Rata-rata peminat ‘menyerang’ akaun media sosial beliau berhubung isu padang tersebut dan tidak terkecuali ada yang memuatnaik gambar itu di ruangan komen setiap ‘posting’ dibuat.
Namun, dalam satu muat naik di ‘Instagram Story’ miliknya, Hans kelihatan seperti memberikan bayangan keadaan lebih baik pada ketika ini.
“Kita jumpa 26hb untuk (perlawanan) Malaysia lawan Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kita balas (kekalahan) 0-2 tu ‘guys’.”
“Gambar padang tu bukan semalam atau hari ini, kita tunggu hari perlawanan,” tambah Hans Isaac lagi.
Sebelum ini, PSM telah mengeluarkan kenyataan dimana tenaga pakar, Labosport digunakan untuk mempersiapkan padang SNBJ bagi konsert Ed Sheeran dan perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 melibatkan Malaysia dan Oman.