Stadium Wembley yang merupakan gelanggang utama bagi skuad kebangsaan England menggunakan teknologi tersendiri yang mana mereka hanya memerlukan tempoh lima hari untuk memasang semula rumput selepas stadium itu digunakan untuk mengadakan konsert.

Isu padang kembali menjadi bualan peminat bola sepak tanah air dimana Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) baru-baru ini berkongsi keadaan semasa permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada 8 Disember ini.

Baca Juga:

Ramai pihak mempersoalkan tindakan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang dilihat gagal untuk menjaga kualiti padang selepas digunakan untuk konsert Coldplay baru-baru ini.

Peminat mula membandingkan kerja-kerja menjaga kualiti padang dengan stadium lain di luar negara, lebih spesifik dengan Stadium Wembley di England.

Sama seperti SNBJ, Wembley kerap kali dipilih sebagai venue untuk mengadakan konsert dan juga beberapa acara lain seperti sukan gusti.

Stadium itu menggunakan teknologi yang dipanggil ‘Lay and Play’ dimana mereka akan mencabut rumput yang sebelumnya ditanam di fasiliti lain sebelum digunakan untuk acara lain bagi memastikan rumput hybrid itu tidak rosak.

Sebaik sahaja acara yang berlangsung selesai, lebih 720 gulungan rumput telah diletakkan di atas beberapa lori dan diangkut ke stadium. Pada 10 meter panjang dengan keluasan 1.2 meter (yang jika hujung ke hujung adalah 7km panjang), keseluruhan pemasangan mengambil masa 60 jam untuk disiapkan.

Pengurus padang iaitu Karl Standley berkata teknologi ini sangat membantu dimana mereka dapat memasang semula rumput dalam masa yang singkat.

“Lay and Play sangat membantu untuk venue serba guna seperti Stadium Wembley. Sebelum ini, ia mungkin mengambil masa sehingga lima minggu selepas konsert untuk menyediakan padang untuk perlawanan bola sepak. Sekarang ini boleh dilakukan dalam masa lima hari sahaja.

“Menanam rumput di tapak luar bermakna kami boleh mengurangkan masa yang diperlukan antara konsert dan bola sepak untuk membolehkan padang pulih, supaya Wembley dapat terus bersaing dengan permintaan global untuk mengadakan acara bertaraf dunia,” katanya.