Keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) nampaknya masih belum berada di tahap memuaskan berbaki 4 hari lagi menjelang final Piala Malaysia 2023.
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) hari ini berkongsi keadaan terkini padang SNBJ di laman sosialnya dengan kapsyen dituju kepada Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Hans Isaac.
Baca Juga:
- Tiada Kos Tambahan Untuk Rawat, Baiki Padang SNBJ Rosak Selepas Konsert Coldplay
- TMJ Kongsi Keadaan Padang SNBJ Selepas Konsert Coldplay
- Hamidin: Keadaan Padang SNBJ Lebih Baik, Sedia Untuk Digunakan
Good standard for the final of Malaysia cup. Looks like your formula is working @hansisaacactor pic.twitter.com/GFqPPBfaP2
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) December 4, 2023
“Standard yang bagus untuk final Piala Malaysia. Nampaknya formula anda menjadi,” tulis TMJ kepada Hans Isaac.
Namun, para peminat percaya kapsyen itu adalah sindiran TMJ yang tidak puas hati melihat keadaan padang tersebut rosak teruk dan kekurangan rumput di bahagian tengah dipercayai akibat ‘dihenyak’ oleh penganjuran konsert minggu lalu.
PSM sebelum ini memberi jaminan keadaan padang akan kembali pulih dan dapat digunakan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara JDT menentang Terengganu yang bakal berlangsung pada 8 Disember ini.
“Kami akan pastikan permukaan padang Stadium Nasional boleh digunakan untuk final Piala Malaysia nanti. Kami sedar keprihatinan dan kebimbangan yang timbul dan akan segera mengatasi perkara itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi kepada Bernama.
Padang yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia itu pernah dikritik hebat apabila ada bahagian yang tercabut ketika aksi Harimau Malaya menentang India dan Tajikistan dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang berlangsung bulan lalu.
Namun, keadaan padang kembali ke tahap terbaik pada aksi pertama kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang menyaksikan Malaysia mempamerkan kebangkitan sekaligus berjaya menumbangkan Krygyzstan 4-3.