Pelbagai desakan dari setiap sudut diterima Datuk Hans Isaac berhubung isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dilihat tidak ‘menggoyahkan’ kedudukannya sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Bayangan itu diberikan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh Tseow Suan yang menjelaskan bahawa setiap keputusan yang dibuat bukanlah keputusan Hans keseorangan.
Baca Juga:
- Peminat Lancarkan Petisyen Gesa Hans Isaac Letak Jawatan
- Isu Padang Berlarutan, Peminat Minta Hans Isaac Letak Jawatan
- Hans Isaac: Itu Bukan Gambar Semalam Atau Hari Ini, Kita Tunggu Hari Perlawanan
Sebaliknya, ia adalah melibatkan keputusan yang telah diputuskan secara bersama oleh Ahli Lembaga Pengarah PSM.
Malah menurut sumber laporan BH Online, kontrak Hans Isaac hanya akan berakhir pada Jun tahun depan.
“Hans Isaac dilantik bagi tempoh dua tahun dan saya percaya dalam PSM sekarang segala keputusan dibuat bersama Lembaga Pengarah.”
“Lembaga Pengarah sudah mengambil keputusan untuk rumput selepas konsert Coldplay, bagi kepada pakar untuk masuk dan lakukan tugas, itu adalah keputusan Lembaga Pengarah. Jadi, kita kena tunggulah.”
Dalam perkembangan sama, Hannah turut mengakui khidmat pakar rumput dari Australia ditagih sejak November tahun lalu untuk merangka proses perancangan dan penjagaan rumput di SNBJ.
“Sebab itu, selepas perlawanan malam ini (Malaysia menentang Oman pusingan kelayakan Piala Dunia) kita nilai dulu.”
“Saya juga akan bermesyuarat untuk mendengar dan dapatkan maklum balas daripada pakar rumput kerana saya mahu pastikan terus ada penambahbaikan.”
“Seperti yang saya jelaskan di Parlimen, kita tiada pilihan di mana saya ada dua stadium. Disebabkan saya tiada dua pilihan itu, kita kena pastikan kita jaga rumah untuk Harimau Malaya dan pada masa yang sama kita juga kena bagi ruang untuk konsert.
“Hasil daripada konsert semua masuk ke akaun perbadanan stadium dan dalam tabung berkenaan kita belanja untuk naik taraf stadium,” tambah Hannah lagi bercakap kepada BH Online.
Selepas ditukar kepada penanaman rumput Zeon Zoysia dimana ia dirasmikan pada 10 Oktober 2023, keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil sentiasa mengundang kritikan para peminat.
Bermula dengan episod padang masih belum matang ketika Pestabola Merdeka, ia disusuli pula dengan penganjuran konsert Coldplay hingga menyebabkan pihak PSM tidak mempunyai masa mencukupi bagi mengembalikan keadaan padang ke tahap optimum untuk perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.
Kemuncaknya malam tadi yang menyaksikan padang masih tidak begitu memuaskan dan ada beberapa ketika pemain terpaksa menanam kembali rumput terkopak ketika perlawanan sedang berlangsung.
Satu keadaan yang nyata ‘mencacatkan’ pemandangan dan secara tidak langsung memberikan imej negatif kepada negara.