Bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard melihat ada perkara penting perlu dilakukan pengurus pasukan, Arne Slot terhadap pemilihan pemainnya.

Rentetan empat kemenangan berturut-turut Liverpool dalam saingan English Premier League (EPL) berakhir awal pagi semalam selepas The Reds tewas 1-2 di tangan pasukan tercorot, Wolves.

Kekalahan yang menghalang skuad kendalian Arne Slot itu untuk melonjak ke tangga kelima dan kini mereka terikat 48 mata bersama Chelsea.

Rodrigo Gomes memecah kebuntuan buat Wolves pada minit ke-78 sebelum Mo Salah menyamakan kedudukan enam minit kemudian.

Namun Liverpool akhirnya tewas selepas Andre menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan melalui rembatan yang terkena pemain lawan pada minit ke-94.

Ia merupakan kali kelima Liverpool tewas dalam saingan EPL musim ini akibat jaringan yang terhasil pada minit ke-90 atau lewat daripadanya.

Ini Nasihat Steven Gerrard Buat Arne Slot
Kredit Foto: Paul ELLIS / AFP

Nasihat Steven Gerrard Buat Slot

Susulan dengan prestasi ditampilkan, Steven Gerrard tampil mengkritik kelajuan serta tempo permainan yang dipamerkan oleh skuad juara bertahan itu.

“Selama 65 minit, Liverpool benar-benar terdesak malam ini, sangat hambar,” kata Steven Gerrard menurut sumber laporan Sport Bible.

“Mereka tidak mencipta peluang yang mencukupi dan tidak bermain dengan kelajuan atau tempo yang betul. Kualiti permainan mereka juga tidak mencukupi.”

“Dia (Arne Slot) perlu menurunkan Rio Ngumoha dalam kesebelasan utama sekarang.”

“Dia mesti diturunkan kerana setiap kali masuk sebagai pemain gantian, dia memberikan lebih impak dalam penampilan singkat berbanding apa yang Cody Gakpo lakukan dalam 65 hingga 70 minit.”

“Dia sudah layak untuk berada dalam kesebelasan utama. Jurulatih perlu menurunkan pemain muda itu pada hari Jumaat (aksi Piala FA lawan Wolves).”

Sumber