Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi sudah memulakan tugasannya bersama kem badminton negara bermula 1 Februari lalu.

Pengalaman luasnya terutama dalam melahirkan ramai bintang terbaik dunia dari Indonesia diharapkan dapat diterjemahkan ke kem badminton negara.

Baca Juga:

Mengikat kontrak selama empat tahun, gelaran juara All England dan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles menjadi antara sasaran utama buat Herry Iman dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Tambahan pula dua bekas anak didiknya iaitu Tony Gunawan-Candra Wijaya dan Hendra Setiawan-Mendiang Markis Kido merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2000 dan 2008.

Sehubungan dengan itu, Herry Iman yang kini berusia 62 tahun menggariskan beberapa elemen diperlukan untuk melihat pemain beregu negara mengecapi kejayaan seperti bekas anak-anak didiknya.

“Disiplin adalah nombor satu, [ia] merangkumi semua aspek. Pemain kena kerja keras dan sentiasa bermotivasi tinggi dan ia perlu konsisten.”

Beregu Negara
Herry bertemu dengan barisan pemain beregu lelaki negara. Kredit Foto: BAM

“Setiap pemain itu pasti ada turun naiknya tetapi ketika dia berada di tahap paling bawah itu [disiplin] yang paling penting untuk kita jaga,” ujar Herry Iman menurut sumber laporan Berita Harian.

“Semuanya perlu secara totalitas. Disiplin, komitmen motivasi dan perjuangan. Boleh dikatakan seolah-olah kepala jadi kaki, kaki jadi kepala, itu maksud totalitas.”

Selain itu, Herry turut menekankan kepentingan bahawa setiap pemain perlu turun berlatih dengan perasaan yang gembira.

“Menurut saya itu adalah perkara utama sebelum kita memulakan latihan. Kalau hati tidak senang, tidak gembira, kita bagi program apa pun dia tidak masuk, tidak bisa jalan, tidak baguslah.”

“Begitu juga ketika bertanding. Kalau kita sudah punya masalah di luar tetapi kita bawa ke gelanggang, ia akan mendatangkan masalah.”

“Tapi kalau mereka gembira, kita bagi latihan apa pun mereka senang, jadi tidak cepat letih. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya,” tambah jurulatih yang digelar ‘Naga Api’ itu lagi.