Pengurus Bayern Munich, Vincent Kompany dengan tenang membalas kritikan yang dilemparkan kepadanya yang mempersoalkan kredibilitinya dalam membimbing skuad Bavaria tersebut.

Kompany mencuri tumpuan dunia pada jendela musim panas lalu apabila menerima tawaran untuk membimbing Bayern Munich walaupun sebelum itu beliau gagal ketika mengemudi Burnley.

Baca Juga:

Transisi daripada Burnley yang kembali ke EFL Championship kepada kelab gergasi Jerman jelas membuatkan ramai beranggapan Kompany tidak layak bagi menggalas tanggungjawab berat itu.

Pengendali berusia 38 tahun itu bagaimanapun membuktikan kemampuannya apabila Bayern Munich menerajui saingan Bundesliga dengan kelebihan satu mata berbanding pencabar terdekat, Eintracht Frankfurt.

Selepas mengharungi lima perlawanan liga, Bayern mencatatkan empat kemenangan dan satu keputusan seri dimana satu mata tersebut diraih pada minggu lalu ketika berhadapan juara bertahan, Bayer Leverkusen.

Meskipun sedar ada yang meragui kemampuannya, Kompany tidak cepat melatah, sebaliknya beliau tidak menghiraukan segala kata-kata negatif terhadap dirinya.

“Saya dilahirkan di Brussels, ayah saya merupakan seorang pelarian yang datang dari Congo,” ujar Kompany menurut sumber laporan Forbes.

“Apakah peluang saya ada untuk bermain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), bermain untuk pasukan kebangsaan? Kemungkinannya adalah 0.00 peratus.”

“Sekarang saya merupakan seorang jurulatih, adakah anda perlu berhenti daripada mempercayai diri sendiri dan apa yang anda boleh capai kerana apa yang orang lain katakan?”

“Mentalitinya adalah untuk meneruskan perkara tersebut kerana pada akhirnya, jika anda gagal, anda gagal dan jika anda berjaya, anda akan berjaya. Tetapi anda sentiasa boleh menjadi lebih baik.”

“Di media sosial, anda boleh sentiasa mencari perkara seperti itu (merujuk kepada kritikan), jadi saya benar-benar tidak ambil kisah sangat.”

“Apa yang saya perlu lakukan ? Adakah perlu berhenti kerana apa yang orang lain fikirkan tentang saya? Mari kita menggalakkan orang ramai untuk berjaya dan memecahkan halangan tersebut,” tambah Kompany lagi.

Sumber