Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengharamkan Nepal daripada sebarang penglibatan dalam bola sepak untuk tempoh yang tidak ditentukan.

Nepal ketika ini berada di ranking ke-117 dunia dalam senarai kedudukan FIFA terkini, mengatasi beberapa negara seperti Barbados, Pakistan, Gibraltar dan San Marino.

Namun begitu, negara Asia Selatan itu kini digantung daripada semua peringkat bola sepak susulan campur tangan pihak ketiga dalam semua urusan yang melibatkan Persatuan Bola Sepak Seluruh Nepal (ANFA).

FIFA Gantung Nepal

Menurut sumber laporan Sport Bible, Majlis Sukan Kebangsaan Nepal sebelum ini pernah mengenakan penggantungan selama tiga bulan terhadap ANFA, namun hukuman tersebut kemudiannya ditarik balik.

Bagaimanapun, selepas menerima amaran daripada FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), negara tersebut kini tidak dibenarkan menyertai mana-mana pertandingan antarabangsa selepas didapati melakukan ‘pelanggaran serius terhadap Statut FIFA yang berkaitan dengan campur tangan pihak ketiga’.

Selain itu, Nepal juga tidak layak menerima sebarang pembiayaan daripada FIFA atau AFC sepanjang tempoh penggantungan tersebut.

“Biro Majlis FIFA telah memutuskan untuk menggantung Persatuan Bola Sepak Seluruh Nepal (ANFA) dengan serta-merta kerana pelanggaran serius terhadap Statut FIFA yang berkaitan dengan campur tangan pihak ketiga, selaras dengan Artikel 14, perenggan 1(i) dan 3 Statut FIFA.”

“Sehubungan itu, berkuat kuasa 24 Jun 2026, ANFA telah kehilangan semua hak keahlian seperti yang ditakrifkan dalam Artikel 13 Statut FIFA, sehingga diberitahu kelak.”

“Wakil ANFA dan pasukan kelabnya tidak lagi dibenarkan mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa sehingga penggantungan ini ditarik balik,” menurut kenyataan dikeluarkan FIFA.

“Ini juga bermakna ANFA serta mana-mana ahli atau pegawainya tidak lagi layak menerima sebarang program pembangunan, kursus atau latihan daripada FIFA dan/atau Konfederasi Bola Sepak Asia.”

“Selain itu, semua pihak diingatkan agar tidak menjalinkan sebarang hubungan sukan dengan ANFA dan/atau pasukannya sepanjang tempoh penggantungan ini.”

“Bagaimanapun, Biro Majlis FIFA atau Majlis FIFA boleh menarik balik penggantungan ini pada bila-bila masa sebelum Kongres FIFA seterusnya berlangsung. Sekiranya perkara itu berlaku, pihak berkaitan akan dimaklumkan.”

 

Sumber