Juara dunia, Sepanyol bukan sahaja membawa pulang trofi paling berharga dalam sukan bola sepak itu buat kali kedua hasil kejayaan ke atas Argentina.
Malah ia turut membawa bersama keyakinan bahawa gelaran Piala Dunia ketiga mereka mungkin hadir dalam tempoh lebih singkat berbanding penantian 16 tahun sejak kali terakhir La Roja berada di puncak dunia.
Jelas terdapat momentum dalam kumpulan pemain ini selepas kejayaan menjuarai Kejohanan Eropah 2024 serta temasya Sukan Olimpik 2024.

Sepanyol Mampu Terus Dominasi Dunia
Dengan usia majoriti pemain yang masih muda, Sepanyol jelas memiliki ruang besar untuk terus berkembang selepas menunjukkan kematangan luar biasa apabila menundukkan Argentina dalam final yang didominasi mereka sebelum mengesahkan kemenangan pada masa tambahan.
Terdapat dua pemain remaja di atas podium kemenangan itu. Salah seorang daripadanya, Pau Cubarsi yang sebulan lalu mungkin bukan pilihan utama sesiapa untuk dinobatkan sebagai pemain muda terbaik Piala Dunia. Beliau jelas mencuri perhatian berbanding rakan sebayanya, Lamine Yamal.
Manakala ketegasan serta kewibawaan dimiliki Rodri menambah kekuatan skuad kendalian Luis de la Fuente.
Rodri akan berusia 34 tahun ketika Piala Dunia 2030 berlangsung dan sekiranya kecergasan dan tubuhnya berada di keadaan terbaik, beliau masih mampu menjadi tonggak utama di bahagian tengah Sepanyol pada edisi akan datang.
“Ia satu perasaan yang baik buat saya apabila generasi baharu dapat melihat bagaimana seorang pemain yang bekerja keras dan enggan berputus asa mampu bangkit semula serta kekal positif,” kata Rodri menurut sumber laporan The Times.
“Dalam situasi ini, saya boleh menjadi contoh tentang bagaimana seseorang perlu percaya kepada diri sendiri. Dan perlu berani. Kami adalah sebuah pasukan yang berani.”
Posisi penjaga gol juga tidak begitu merisaukan buat Sepanyol kerana Unai Simon hanya akan berusia 33 , David Raya (34 tahun) dan Joan Garcia pula 29 tahun pada edisi tersebut.
Nico Williams dan Alex Baena yang masing-masing memberikan kualiti tersendiri di posisi sayap kiri buat skuad juara dunia itu pula akan berusia 28 dan 29 tahun pada Julai 2030.
Pedri ketika itu masih berusia 23 tahun manakala rakan sepasukannya di Barcelona, Gavi baru berumur 21 tahun.
Selain barisan pemain yang berada dalam skuad juara, Sepanyol masih mempunyai pemain muda berbakat besar mampu meningkatkan kualiti pasukan dengan kehadiran pemain seperti Dean Huijsen, Fermin Lopez dan Dro Fernandez.
Malah, Sepanyol juga dijangka tidak akan ketandusan bakat baharu kerana sistem pembangunan mereka terus melahirkan pemain yang percaya kepada penguasaan bola serta falsafah permainan yang menjadi identiti negara itu.

Malah, lapan hari sebelum skuad senior mereka menjuarai Piala Dunia, pasukan bawah 19 tahun Sepanyol terlebih dahulu menjulang kejuaraan Eropah, sekali gus menambah lagi koleksi trofi peringkat umur negara itu pada abad ini.
Menariknya, beberapa kejayaan tersebut hadir ketika Luis de la Fuente masih mengendalikan pasukan pembangunan sebelum akhirnya diberi kepercayaan membimbing skuad senior.
Masa depan Sepanyol kelihatan cukup cerah!