Pemain pertahanan kebangsaan Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov diumumkan secara rasmi sebagai pemain import terbaru Selangor untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.

Walaupun memiliki reputasi hebat bersama Uzbekistan dan pengalaman luas di pentas antarabangsa, beliau memilih untuk berhijrah ke Malaysia kerana ingin beraksi di luar negara.

Selangor FC merupakan kelab pertama beliau di luar negara kerana kebanyakan karier bola sepaknya beraksi dengan beberapa kelab di Uzbekistan.

“Secara jujurnya, saya menyimpan hasrat untuk beraksi bersama kelab di luar negara sejak dari dulu lagi. Selangor FC merupakan kelab pertama saya memilih untuk melebarkan sayap dalam karier bola sepak setelah 12 tahun beraksi di Uzbekistan dan saya yakin dengan keputusan ini.

“Saya berharap pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa, baik untuk kelab mahupun untuk pasukan kebangsaan, Uzbekistan akan membantu saya membawa Selangor FC mencapai kejayaan untuk musim ini.” katanya dalam laman web SFC.

Musim lepas, ‘stopper’ berketinggian 185cm ini beraksi bersama kelab ternama di Uzbekistan iaitu FC Nasaf Qarshi. Berdasarkan rekod, beliau beraksi dalam 218 perlawanan divisyen satu Liga Uzbekistan dan aksi di pentas antarabangsa bersama kelab ini.

Antara pencapaian terbaik beliau bersama skuad FC Nasaf Qarshi adalah kejayaan menjulang Uzbek Cup untuk tiga tahun beturut-turut iaitu pada musim 2021, 2022 dan 2023 serta Uzbek Supercup untuk musim 2022/2023.

Manakala, di pentas antarabangsa pula, FC Nasaf Qarshi telah menjadi finalis AFC Cup 2021 di mana pasukan beliau meraih tempat kedua dalam kejohanan tersebut.

Beliau kini bersama skuad Uzbekistan di Qatar untuk kejohanan Piala Asia 2023 di mana pasukannya dijadualkan bertemu tuan rumah, Qatar pada 3 Februari untuk saingan Suku Akhir setelah menewaskan Thailand di pusingan 16 baru-baru ini dengan keputusan 2-1.

Kehadiran beliau dijangka mengukuhkan barisan jentera pertahanan pasukan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2024/2025 dan saingan ACL 2 2024.