Satu mata dikongsi Uzbekistan dan Syria yang terikat tanpa jaringan pada aksi kumpulan B Piala Asia 2023 yang berlangsung di Jassim Bin Hamad Stadium, Doha sebentar tadi.

Aksi menarik bagaimanapun ditampilkan kedua-dua pasukan yang saling mencari peluang untuk melakukan serangan sepanjang perlawanan walaupun seperti dapat disaksikan Uzbekistan lebih mendominasi permainan.

Baca Juga:

Namun, penyudah kurang berkesan serta pertahanan lawan yang kental bertahan menggagalkan usaha Uzbekistan dan Syria untuk memburu kemenangan.

Syria yang dibimbing Hector Cuper terlebih dahulu menguji gawang Uzbekistan pada minit ketujuh tetapi percubaan leret Ibrahim Hesar selepas beliau melakukan ‘turning’ membias terkena pertahanan lawan.

Memasuki minit ke-19, percubaan Khozhimat Erkinov yang meluru pantas ke kawasan penalti Syria pula tersasar di sebelah kanan pintu gol.

Selepas itu tidak banyak yang dapat diperkatakan mengenai aksi pada separuh masa pertama dimana tiada sebarang percubaan tepat dapat dihasilkan.

Lebih banyak percubaan dijelmakan pada babak kedua tetapi jentera serangan kedua-dua pasukan tetap buntu untuk menghadirkan jaringan kemenangan.

Malah, jaringan yang dihasilkan Syria pada minit ke-77 turut dibatalkan kerana Hesar dikesan berada dalam keadaan ofsaid.

Keputusan seri yang dicatatkan menyaksikan Australia yang menang 2-0 ke atas India menduduki tangga teratas dengan tiga mata.

Syria dan skuad kendalian Srecko Katanec itu terikat dengan satu mata manakala India di kedudukan terakhir.

Uzbekistan bakal menentang India pada aksi kedua manakala Syria pula akan menghadapi cabaran hebat Australia yang menyaksikan kedua-dua perlawanan berlangsung pada 18 Januari nanti.