China dan Tajikistan terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi kumpulan A Piala Asia 2023 yang berlangsung di Abdullah bin Khalifa Stadium, Doha sebentar tadi.

Berdepan pasukan yang mempunyai ranking lebih baik langsung tidak menggentarkan barisan pemain Tajiskistan terutamanya pada separuh masa pertama.

Baca Juga:

Sebaliknya, skuad kendalian Petar Segrt itu lebih menguasai permainan dengan aksi tersusun ditampilkan. Manakala, China pula sesekali mencuri peluang berbekalkan serangan balas pantas.

Pemain tengah Tajikistan, Alisher Dzhalilov jelas menjadi pemain yang mencuri tumpuan pada perlawanan ini dalam mengancam pertahanan China.

Ia bermula dengan percubaan jarak jauh diledakkannya pada minit ke-25 tetapi ditepis keluar penjaga gol, Yan Junling.

Seminit kemudian, Dzhalilov mendapat peluang dalam kawasan penalti China tetapi percubaan kaki kirinya hanya sedikit tersasar.

China mendapat peluang pada minit ke-36 dalam kawasan penalti susulan situasi sepakan penjuru tetapi percubaan Wang Qiuming terkena pemain pertahanan Tajikistan, Manuchekhr Safarov.

Dzhalilov sekali lagi memberikan ancaman pada minit ke-48, namun percubaan akrobatik dilaukannya dalam kawasan penalti lawan membias terkena pertahanan China lalu bola keluar.

Beberapa pertukaran dilakukan ketua jurulatih China, Aleksandar Jankovic dilihat hampir membuahkan hasil dengan dua percubaan menarik dapat dijelmakan.

Bagaimanapun, percubaan Xin Xu dari luar kawasan penalti berjaya diselamatkan penjaga gol, Rustam Yakimov pada minit ke-79 manakala dua minit kemudian, jaringan Zhou Chenjie dibatalkan Video Assistant Referee (VAR).

Meskipun kedua-dua pasukan berusaha keras untuk mendapatkan jaringan kemenangan, ia masih belum cukup untuk China dan Tajikistan berpuas hati dengan satu mata.