Lionel Messi sekali lagi mengubah persepsi tentang cara seorang pemain mempengaruhi perlawanan di pentas Piala Dunia apabila mencuri perhatian peminat dengan statistik luar biasa.
Hal ini kerana hampir separuh daripada tempoh aksinya di atas padang dihabiskan dengan berjalan.
Menjelang pertemuan separuh akhir yang dinanti-nantikan antara Argentina dan England, statistik mengejutkan mendedahkan bagaimana tonggak berusia 39 tahun itu menyesuaikan corak permainannya untuk menguasai lawan sambil menjimatkan tenaga bagi menghadirkan detik-detik paling penting yang mampu mengubah keputusan perlawanan.

Statistik Luar Biasa Messi
Menurut sumber laporan BBC, Messi telah berjalan sejauh 47 peratus daripada keseluruhan jarak yang dilaluinya sepanjang Piala Dunia kali ini, iaitu peratusan tertinggi dalam kalangan semua pemain (selain penjaga gol).
Ia bukanlah menunjukkan kemerosotan fizikal, sebaliknya Messi telah menyesuaikan gaya permainannya agar mampu terus mendominasi perlawanan.
Beliau hanya mencatatkan jarak larian sekitar 8.2 kilometer bagi setiap 90 minit dan melakukan purata hanya 2.7 pecutan setiap perlawanan, berbanding 5.3 pecutan pada edisi Piala Dunia empat tahun lalu.
Meskipun begitu, sumbangan Messi di atas padang kekal tiada tandingan. Kapten Argentina itu telah melakukan 33 percubaan tepat ke arah gol serta mencipta 21 peluang. Menjadikan jumlah keseluruhan itu sebagai catatan tertinggi sejak legenda Argentina, Diego Maradona pada Piala Dunia 1986.
Walaupun pergerakannya di atas padang semakin terhad, pengaruh Messi terhadap permainan semakin meningkat. Ia membuktikan bahawa keupayaannya membaca permainan kini menjadi aset terbesar dalam usaha mencipta perbezaan pada saat-saat penting.
Strategi menjimatkan tenaga ini merupakan fasa terbaharu dalam karier Messi yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa.

Sejak mula mencipta nama bersama Barcelona, Messi telah beralih daripada pemain sayap yang dinamik kepada penyerang false nine, sebelum akhirnya memainkan peranan sebagai perancang permainan dari kawasan lebih ke bawah bersama Inter Miami dan Argentina.
“Dulu saya tidak begitu memberi perhatian kepada aspek taktikal. Tetapi bersama [Pep] Guardiola, saya belajar begitu banyak perkara. Saya mula memahami ruang, cara mengekalkan penguasaan bola dan bagaimana permainan ini sebenarnya berfungsi.”
“Bola sepak telah banyak berubah. Cara bermain dan sistem juga berubah. Permainan hari ini jauh lebih taktikal dan fizikal berbanding dahulu. Sebelum ini, anda lebih mudah menemui ruang,” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.