Semalam Malaysia dikejutkan dengan satu kemalangan jiwa yang meragut 10 orang selepas pesawat yang dinaiki iaitu Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor.
Menurut CAAM, pesawat yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd membawa enam penumpang serta dua kru penerbangan, dan telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Baca Juga:
- Insiden Elmina: Pakar Kongsi Beberapa Faktor Boleh Sebabkan Kapal Terbang Hilang Kawalan
- EXCO Pahang Dipercayai Antara 10 Terkorban Dalam Nahas Pesawat Terhempas Di Elmina
Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.
Berita ini telah mendapat liputan meluas bukan sahaja di Malaysia, bahkan di luar negara. Beberapa media antarabangsa seperti, BBC (UK), Kompas (Indonesia), TRT World News (Turkey) serta The Guardian (UK).
Kejadian ini mendukacitakan bukan sahaja rakyat Malaysia, namun masyarakat di luar juga. Bagi mereka, ia adalah sebuah tragedi yang mengerikan dan dalam masa yang sama, mereka merasaikan kesedihan yang dialami oleh keluarga mangsa.
“Takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang.semoga diberi kekuatan dan kesabaran,” kata netizen di laman Instagram TRT World News. “Saya baru sahaja pulang dari negara yang indah ini dan saya baru tahu mengenai berita ini. Inna lillah. Semoga Allah merahmati Malaysia,” tambah yang lain.
Untuk rekod, pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan telah menemui kotak hitam pesawat yang terhempas tersebut. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia dijumpai ketika pasukan siasatan menjalankan misi pencarian mayat di tapak nahas tersebut.
“Kita berjaya menjumpai rakaman audio pesawat (voice cockpit recorder) oleh BSKU. Mereka berjaya menjumpainya dan akan membawa balik ke makmal untuk analisis berkaitan dengan kemalangan ini,” katanya dalam sidang akhbar di tempat kejadian di sini, hari ini.