17 Ogos 2023 menjadi tarikh hitam buat Malaysia apabila sebuah kapal terbang sewa khas terhempas di di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina, Shah Alam. Insiden itu telah mengorbankan sepuluh mangsa.
Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology, Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, ada beberapa faktor yang mungkin menyebabkan kapal terbang hilang kawalan, petik Harian Metro.
Baca Juga:
- Lalu Lintas Terhalang, Sebuah Kapal Terbang Dilaporkan Terhempas Di Elmina
- EXCO Pahang Dipercayai Antara 10 Terkorban Dalam Nahas Pesawat Terhempas Di Elmina
Menurut beliau, antara faktor-faktornya seperti enjin kapal terbang tiba-tiba tidak mengeluarkan tujahan, ketidakseimbangan kapal terbang dan kawalan kapal terbang tergendala.
Jelas beliau lagi, engine flameout iaitu keadaan di mana enjin kapal terbang secara tiba-tiba tidak mengeluarkan tujahan dan jika salah satu enjin mengalami keadaan sebegini, kapal terbang akan berputar pada paksi tertentu.
“Lazimnya orientasi kapal terbang dapat dibetulkan kerana satu lagi enjin berfungsi tetapi jika kapal terbang berada pada ketinggian yang rendah, ada kemungkinan orientasi kapal terbang tidak dapat dibetulkan pada masa yang singkat.
“Satu lagi faktor ialah ketidakseimbangan kapal terbang kerana pusat gravitinya adalah di luar sampul keselamatan (safety envelope),” terangnya lagi.
Mohd Haridon berkata, setiap kapal terbang ada pusat gravitinya dan adalah penting untuk memastikan pusat graviti kapal terbang berada pada julat yang ditetapkan oleh pengeluar kapal terbang.
“Selalunya overloading atau loading yang tidak sempurna akan membuatkan pusat graviti kapal terbang berada di luar sampul keselamatan (safety envelope).
“Kita perlu menyiasat sama ada kargo-kargo kapal terbang diletakkan secara betul dan optimum serta sama ada jumlah berat kargo terbabit adalah tidak melebihi had yang telah ditetapkan oleh design limit atau limitasi rekaan,” katanya.
Beliau berkata, faktor lain yang perlu diambil kira adalah kawalan kapal terbang tergendala iaitu control freeze di mana elevator kapal terbang secara tiba tiba tidak berfungsi.
“Selain itu, input juruterbang pada komponen-komponen lain kapal terbang, seperti aileron, tidak mendapat reaksi yang sepatutnya dari kapal terbang.
“Kita perlu melihat data-data dari kotak hitam kapal terbang untuk menilai sama ada kapal terbang mengalami kegagalan sistem kawalan,” katanya.
Katanya, jika ada kegagalan sistem, nilai-nilai pada data terbabit adalah tidak nominal dan itu membolehkan pihak berkuasa membuat kesimpulan akan julat masa kegagalan itu.
“Perlu diingat bahawa segala kemungkinan ini perlu disertakan dengan bukti-bukti yang utuh untuk memastikan unjuran ini adalah tidak berbentuk spekulasi semata-mata.
“Dengan itu, pengumpulan bukti-bukti adalah wajar dan ia selari dengan prinsip penyiasatan iaitu kesimpulan dibuat berdasarkan entiti-entiti yang kukuh.
Sementara itu, Pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, banyak perkara yang boleh menyebabkan kejadian kapal terbang terhempas itu berlaku.
“Keadaan cuaca langsung tidak memainkan peranan kerana kita ketahui keadaan cuaca termasuk kelajuan angin adalah baik.
“Oleh itu, pihak Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan menumpukan perhatian terhadap keadaan kapal terbang untuk mencari bukti-bukti atau petunjuk berbentuk teknikal terlebih dahulu sebelum memperolehi data kotak hitam yang perlu diproses terlebih dahulu.
“Sekiranya tiada masalah teknikal ditemukan, barulah mereka akan cari bukti sekiranya kemalangan terbabit adalah disebabkan oleh kesilapan manusia,” katanya.