Rekrut baharu Liverpool, Alexander Isak mendakwa bukan semua orang mengetahui keseluruhan cerita mengenai perpindahan kontroversinya dari Newcastle United ke Liverpool.
Perpindahan yang terjadi pada penghujung jendela musim panas tempoh hari cukup mencuri tumpuan ramai apabila Isak pada mulanya dikatakan merajuk kerana tidak dibenarkan untuk berhijrah.
Baca Juga:
- Analisis Alexander Isak Di Liverpool: No.9 Dengan Gaya Permainan Lincah Dan Cetuskan Ancaman Segera

- RASMI: Alexander Isak Sertai Liverpool Dengan Rekod Perpindahan Inggeris £130 Juta

- Here We Go: Alexander Isak Ke Liverpool Dengan Rekod Perpindahan EPL

Keadaan tersebut menyebabkan Isak memilih untuk tidak menyertai sesi latihan pra-musim Newcastle United dan hanya menjalani latihan bersama pasukan lamanya, Real Sociedad.
Bagaimanapun selepas mengharungi pelbagai drama, kemelut yang melanda itu akhirnya selesai apabila Newcastle melepaskan penyerang berbisa itu ke Liverpool dengan yuran perpindahan bernilai £130 juta.
Keadaan yang menjadikan beliau sebagai rekod pembelian termahal British bagi mengatasi rakan sepasukan baharunya, Florian Wirtz (£116 juta).
Komen Alexander Isak Tentang Perpindahannya
“Saya gembira semuanya dapat diselesaikan sebelum bersama skuad dan saya boleh kembali fokus bermain bola sepak.”
“Ia satu situasi yang agak baharu untuk saya, tetapi anda sentiasa belajar dan berkembang secara mental juga di luar padang,” ujar Isak menurut sumber laporan Goal.
“Itu sebahagian daripada bola sepak. Saya tidak boleh mengawal semua perkara yang diperkatakan atau ditulis. Tetapi saya gembira kerana menjadi pemain Liverpool.”
“Itulah yang saya mahukan dan saya gembira dengan itu. Ada banyak perkara untuk dibincangkan dan ia boleh dibincangkan untuk tempoh yang lama.”
“Ia memberikan pengajaran dan saya berpuas hati dengan keputusan akhir. Saya gembira dan bangga menjadi pemain Liverpool.”
“Saya tidak mahu pergi terlalu jauh atau bercakap terlalu banyak mengenai situasi itu. Ia sudah menjadi bab yang dah selesai tetapi saya tidak pernah ada sebarang masalah.”
“Memang begitulah keadaannya. Jelas bahawa bukan semua orang tahu keseluruhan cerita, tetapi itu sesuatu untuk masa lain,” tambah beliau lagi.