Saga perpindahan Alexander Isak ke Liverpool akhirnya diselesaikan pada hari terakhir jendela perpindahan.

Pemain tersebut sebelum ini mendesak perpindahan ke Liverpool walaupun awalnya Newcastle menyatakan bahawa mereka hanya akan menjual pemain itu dengan harga £150 juta.

Liverpool kekal dengan tawaran maksimum £130 juta untuk pemain kebangsaan Sweden itu.

Newcastle akhirnya setuju untuk menjual Isak dengan harga £130 juta yang menjadi rekod perpindahan termahal dalam sejarah Liga Inggeris.

Isak diberikan jersi nombor 9 di Liverpool.

Isak berkata: “Ia merupakan perjalanan yang panjang untuk sampai ke tahap ini.

“Tetapi saya sangat gembira dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini, kelab ini dan segala yang diwakilinya.

“Ia sesuatu yang saya banggakan dan saya benar-benar menantikan peluang ini.

“Saya benar benar gembira ia akhirnya selesai dan saya boleh kembali bekerja.

“Saya tak sabar untuk berjumpa rakan sepasukan serta para penyokong, dan kembali beraksi di padang.”

Alexander Isak telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang penyerang terbaik Liga Perdana Inggeris sepanjang tiga musim bersama Newcastle.

Sejak menyertai Newcatle dari Real Sociedad pada musim panas 2022, Isak sudah menjaringkan 62 gol dalam 109 penampilan untuk kelab St. James’ Park itu.

Isak meledak 54 gol dalam 86 perlawanan Liga Perdana untuk The Magpies, dengan 23 daripadanya hadir musim lalu, di mana beliau menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Mohamed Salah dalam perebutan Kasut Emas.

Alexansen Isak kini menjadi rakan sepasukan Salah dan menyasarkan untuk meraih trofi di Anfield.

Isak menambah: “Saya rasa saya ada banyak perkara untuk diberikan, banyak lagi yang boleh saya tingkatkan.

“Saya seorang penyerang tetapi saya sentiasa mahu memberi sebanyak mungkin kepada pasukan, terutamanya gol tetapi juga lebih daripada itu.

“Saya mahu menang segalanya. Ya, sesederhana itu.”