Khairul Aming sekali lagi dipuji netizen kerana bijak dan pantas membalas maklumbalas serta kritikan pelanggan produknya.
Baru baru ini, Khairul Aming melancarkan produk baharu, Rendang Nyet Berapi, dan ianya mendapat sambutan luar biasa.
Salah seorang pembeli produk tersebut kesal dengan pembungkusan produk. Di mana dia menerima bungkusan produk yang bocor serta jumlah ayam yang agak sedikit.
Fatin Nadia menulis di Threads: “Rendang Nyet Berapi KA dah sampai. Review jujur ya, ini pendapat masing-masing. Aku bagi rate 6/10.
“Mana lagi 4 markah tu? Dari segi rasa rendang memang sedap, tak kedekut bahan, cukup rasa orang kata. Tapi yang tak bestnya, packaging yang aku dapat — pertama sekali leaking (ada minyak keluar, tak tahu dari mana).
“Kedua, aku beli satu paket sahaja, tapi isi ayamnya mana? Bila dah kacau-kacau, baru jumpa dalam 3 ke 4 ketul isi ayam kecil. Jadi, packaging yang aku dapat ni lebih kepada kuah rendang saja.”
Tidak melatah dengan maklum balas tersebut, Khairul Aming segera memberikan penghargaan di atas komen dan kritikan yang diterimanya.
Dia malah sedia menggantikan produk yang bocor itu dan sedia untuk memeriksa jumlah isi ayam yang ada dalam setiap bungkusan.
Khairul Aming membalas: “Terima kasih sebab bagi reviu jujur. Moof maaf atas kekurangan ni. Boleh dm KA nama, alamat, nombor telefon dan ID pesanan. Untuk bungkusan yang bocor memang kami akan ganti balik 100% sebab pelanggan tak patut dapat yang bocor.
“Untuk isi ayam KA akan check balik batch number (mengikut tracking number nanti) untuk kita cari punca masalah kat bahagian retort filling. Terima kasih.”

Khairul Aming turut menjawab persoalan tentang, adakah di kilangnya ada QC? Menurut KA, ianya adalah jawatan yang wajib ada.
Namun kebocoran pembungkusan itu mungkin berlaku ketika penghantaran kerana terlalu banyak bungkusan yang bertindih.

Fatin menghargai respon daripada Khairul Aming. Sementara netizen yang lain kagum dengan sikap KA yang tidak melatah malah dianggap rajin mencari maklum balas pelanggan sampai ke ruangan Threads.
