Roberto Mancini menepis laporan bahawa bekas kelabnya, Manchester City didapati bersalah oleh Premier League atas pelanggaran peraturan kewangan yang didakwa berlaku ketika beliau menjadi pengurus kelab tersebut.

Menurut sumber laporan ESPN, antara pelanggaran yang didakwa dilakukan dan disenaraikan oleh Premier League pada 2023 ialah Manchester City gagal memberikan ‘butiran lengkap mengenai bayaran kepada pengurus dalam kontrak berkaitan dengan pengurusnya’ antara 2009 hingga 2013.

Tempoh tersebut merupakan ketika Mancini mengendalikan Manchester City dan membawa kelab itu meraih kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 44 tahun.

Mancini dilaporkan pernah menerima gaji asas £1.45 juta pada satu ketika, selain £1.75 juta sebagai perunding untuk sebuah pasukan yang dikawal oleh pemilik Manchester City, Sheikh Mansour di Abu Dhabi.

Namun, ketika bercakap dalam sidang media di Turkiye pada Ahad lalu, jurulatih Itali itu mempersoalkan laporan mengenai keputusan tersebut dan menegaskan bahawa perkara berkenaan adalah urusan kelab, bukannya dirinya.

Roberto Mancini Akui Manchester City Tak Bersalah

“Ini bukan isu yang melibatkan saya. Ia bukan perkara baharu kerana isu ini sudah dibincangkan sejak empat atau lima tahun lalu.”

“Manchester City tidak didapati bersalah dan dakwaan mengenai kontrak berganda itu bukan urusan saya. Itu masalah mereka, bukan masalah saya.”

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Manchester City tidak menafikan keputusan bersalah tersebut dan berkata bahawa proses berkenaan ‘masih berjalan’.

Sumber