Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan bahawa sebuah kenderaan milik Jabatan telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sultan Ismail pada awal pagi ini. Kejadian tersebut telah mengakibatkan kematian dan kecederaan.
Seluruh warga JIM merakamkan ucapan takziah serta simpati mendalam kepada keluarga mangsa yang terkorban, dan mendoakan agar mangsa yang cedera segera sembuh, petik kenyataan rasmi JIM.
Antara tindakan dan ketetapan utama pihak Jabatan berhubung insiden ini termasuklah:
Kerjasama Siasatan: JIM memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengidentifikasi punca sebenar kejadian dan tidak akan membuat sebarang andaian yang mendahului siasatan pihak berkuasa.
Siasatan Dalaman: Pihak Jabatan akan menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan aspek keselamatan pengoperasian kenderaan.
Kawalan Maklumat & Sensitiviti: Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu PDRM. Dalam pada itu, awam digesa menghormati privasi keluarga mangsa serta menahan diri daripada menyebarkan gambar, rakaman, atau maklumat tidak sahih bagi mengelakkan spekulasi.
“JIM memandang serius kejadian ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa serta siasatan dalaman Jabatan.
“Jabatan sekali lagi merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta semua yang terkesan akibat kejadian ini,” petik kenyataan rasmi.