Berita perpindahan pemain dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/25 semakin menarik untuk disaksikan dengan dua pemain sayap, Jadon Sancho dan Raheem Sterling meninggalkan pasukan masing-masing secara pinjaman.

Sterling yang tidak berada dalam perancangan Enzo Maresca sudah pun diperkenalkan secara rasmi oleh Arsenal sebagai pemain baharu kelab tersebut.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Pemain berusia 29 tahun itu datang ke Emirates Stadium dengan reputasi hebat selaku pemenang empat kejuaraan EPL dan lima trofi Piala Liga pernah dimenangi ketika bersama Manchester City.

Musim lalu, beliau telah membuat 31 penampilan dalam saingan liga hingga berjaya meledakkan 10 gol dan mencipta lapan bantuan jaringan.

Namun, kehadiran Maresca yang membimbing pasukan pada musim ini menyaksikan peluangnya untuk terus berada di Stamford Bridge tertutup dan merintis perjalanannya ke Arsenal secara pinjaman tanpa pilihan pembelian secara tetap.

Sementara itu, Sancho yang menerima nasib sama seperti Sterling sudah menandatangani segala dokumen untuk sah bergelar pemain baharu Chelsea walaupun kelab tersebut masih belum membuat pengumuman rasmi.

Wartawan terkenal dunia, Fabrizio Romano mendedahkan perkara tersebut dimana kedua-dua pihak telah bersetuju untuk pinjaman sehingga hujung musim berserta pilihan perpindahan secara tetap.

Kehadiran Sancho jelas menambah kekuatan di jentera sayap Chelsea yang sebelum ini sudah pun membawa masuk Joao Felix dan Pedro Neto.

Dalam perkembangan lain, hasrat Chelsea untuk mendapatkan khidmat Victor Osimhen tidak kesampaian apabila rundingan yang dibuat bersama SSC Napoli gagal menemui kata sepakat.

Lebih sukar buat penyerang tersebut kerana pilihan kedua iaitu untuk menyertai Al-Ahli juga telah gagal.