Jadon Sancho pernah menyerlah di pentas-pentas terbesar Eropah dan dilabel sebagai antara bakat besar dalam kancah bola sepak dunia.
Beliau cemerlang bersama Borussia Dortmund hingga membolehkannya menyertai Manchester United dengan yuran perpindahan bernilai €85 juta. Tidak begitu menjadi di Old Trafford, beliau dipinjamkan pula ke Chelsea dan Aston Villa.
Walaupun membantu kedua-dua kelab itu menjuarai saingan Eropah bagi dua musim berturut-turut, ia masih belum cukup untuk membuatkan khidmat Sancho ditagih secara tetap.
Keadaan itu tanpa disangka-sangka menyebabkan pemain sayap tersebut sedang menghadapi antara detik paling sukar dalam kariernya.
Sehingga kini, beliau masih berusaha keras untuk mencari kelab baharu menjelang musim 2026/27 yang bakal bermula pada hujung bulan ini.
Pemain kelahiran England itu kini bergelar ejen bebas selepas gagal mencapai kata sepakat untuk memperbaharui kontraknya bersama Manchester United.
View this post on Instagram
Sancho Masih Mencari
Menurut sumber laporan beIN Sports, sementara menanti peluang baharu, pemain berusia 26 tahun itu dilihat menghabiskan masa di tempat yang cukup berbeza berbanding suasana yang pernah menjadi saksi permulaan karier profesionalnya.
Jadon Sancho dilihat menjalani latihan di kemudahan milik Flixton FC, sebuah kelab yang beraksi dalam divisyen kesepuluh bola sepak England.
Kehadirannya di situ mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin sedang menjalani sesi percubaan atau bakal menyertai kelab tersebut. Namun, pihak pengurusan Flixton FC segera menjelaskan keadaan sebenar.
Pengerusi Flixton FC memaklumkan bahawa pemain tersebut hanya menggunakan kemudahan latihan kelab itu secara persendirian bagi mengekalkan tahap kecergasan fizikalnya sementara membuat keputusan mengenai hala tuju kariernya.
“Dia bukan menjalani sesi percubaan bersama kelab ini dan tidak terlibat dalam sebarang rundingan perpindahan,” kata pengerusi kelab itu.