Saingan Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 bakal berlangsung pada 2 November nanti dimana kempen skuad Malaysia bermula sehari kemudian.

Seperti dilaporkan sebelum ini, skuad negara yang dibimbing Rakphol Sainetngam telah diundi bersama-sama dua pasukan gergasi iaitu Thailand dan Vietnam. Dua lagi slot dalam kumpulan A akan diisi oleh Brunei dan Timor-Leste.

Baca Juga:

Selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan pada dua edisi terakhir (2019 dan 2022), skuad negara menyimpan misi lebih besar pada saingan yang bakal diadakan di Nakhon Ratchasima, Thailand itu.

Hal ini kerana Rakphol meletakkan sasaran muncul juara buat pertama kali melihatkan kepada barisan pemain dimilikinya.

Jadual Penuh Aksi Malaysia Dalam Kejuaraan Futsal ASEAN 2024
Abu Haniffa Hassan terus jadi sandaran utama skuad negara.

Selain itu, Malaysia turut perlu mengambil kesempatan berikutan langkah Thailand merehatkan hampir kesemua pemain mereka yang beraksi di Piala Dunia Futsal 2024 di Uzbekistan.

Selepas dibelasah 0-6 kepada Indonesia pada perlawanan persahabatan di Yogyakarta tempoh hari, skuad negara dilihat serba sedikit sudah berjaya memperbaiki kelemahan pasukannya.

Ia dibuktikan apabila skuad Malaysia mengikat Australia dan kelab gergasi Thailand, Bluewave Chonburi 1-1 dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Bangkok pada 27 serta 30 Oktober lalu.

Berikut merupakan jadual penuh melibatkan Malaysia pada peringkat kumpulan Kejuaraan Futsal ASEAN 2024:

1) Malaysia lawan Brunei
3 November 2024 (Ahad)
4.30 petang

2) Malaysia lawan Vietnam
4 November 2024 (Isnin)
4.30 petang

3) Malaysia lawan Thailand
5 November 2024 (Selasa)
7.00 malam

4) Malaysia lawan Timor-Leste
6 November 2024 (Rabu)
4.30 petang

Sekiranya skuad negara melepasi peringkat kumpulan, aksi separuh akhir bakal diadakan pada 8 November (Jumaat) dan perlawanan penentuan ke-3/4 dan final pula dijadualkan 10 November (Ahad). Kesemua perlawanan akan berlangsung di Terminal 21, Nakhon Ratchasima.