Daripada enam pemain yang membawa cabaran Malaysia di pusingan 16 All England 2024 semalam, tiga daripadanya berjaya melangkah ke suku akhir.

Cabaran negara kini digalas oleh Lee Zii Jia bersama-sama Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah yang mengejutkan pasangan nombor satu dunia dari China.

Baca Juga:

Pearly dan Thinaah akan terlebih dahulu turun ke gelanggang apabila mereka bakal beraksi di perlawanan pertama bagi gelanggang dua pada jam 6.00 petang.

Para peminat di tanah air bagaimanapun terpaksa menunggu lama untuk menyaksikan perlawanan Lee Zii Jia kerana beliau dijangka hanya akan beraksi pada 1.50 pagi esok.

Penantian terakhir lebih memenatkan kerana Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula dijadualkan beraksi ketika umat Islam sedang bersiap untuk bersahur (4.20 pagi).

Berikut merupakan senarai lengkap jadual perlawanan melibatkan pemain negara di suku akhir All England 2024:

1) Pearly Tan-M.Thinaah (15) lawan Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto (11)

Pearly dan Thinaah pasti berada di mood terbaik untuk meneruskan rentak cemerlang setelah berjaya menyingkirkan Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.

Namun, Pearly-Thinaah perlu berhati-hati kerana pasangan dari Jepun yang bakal dihadapi itu pernah menundukkan mereka pada November tahun lalu di Kumamoto Masters Japan.

Rekod pertemuan melibatkan kedua-dua pasangan terikat 1-1 dimana pasangan negara itu menang ketika Malaysia Masters 2023.

2) Lee Zii Jia (10) lawan Lakshya Sen (18)

Kelebihan memihak pemain India tersebut berdasarkan rekod pertemuan dimana beliau menang tiga daripada empat aksi mereka.

Pada 2022, Sen turut menundukkan Zii Jia di peringkat separuh akhir All England menerusi permainan ‘rubber set’.

Namun dengan dua kemenangan penting dilakarkan ketika bertemu Kodai Naraoka dan Loh Kean Yew, Zii Jia pastinya berada di prestasi terbaik untuk sekali lagi mara ke separuh akhir.

Zii Jia mara ke tiga aksi separuh akhir dalam empat tahun terakhir dalam saingan yang berlangsung di Birmingham ini (2020, 2022, 2023).

3) Aaron Chia-Soh Wooi Yik (5) lawan Bagas Maulana-Muhammad Shohibul Fikri (9)

Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik mempunyai kelebihan dengan empat kemenangan berturut-turut ke atas juara All England 2022 itu.

Kesemua perlawanan itu turut dimenangi dengan keputusan ‘straight set’ dimana pertembungan terakhir mereka adalah ketika final Terbuka Denmark 2023.