Selepas berehat panjang akibat kecederaan pinggang yang dialami, Pearly Tan dan pasangannya M. Thinaah beraksi dengan baik untuk mara ke pusingan kedua Kumamoto Masters Japan 2023.

Gandingan beregu wanita nombor satu negara itu berjaya menundukkan lawan dari Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan dalam aksi yang berlanjutan hingga ke ‘rubber set’.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tidak beraksi dalam mana-mana pertandingan dalam tempoh masa hampir sebulan dilihat tidak terlalu memberikan masalah buat Pearly-Thinaah terutamanya pada set pertama.

Ia jelas dibuktikan apabila mereka tampil dengan cukup meyakinkan untuk memenangi set pertama dengan jurang mata 21-14.

Tentangan lebih sengit diberikan pasangan ranking ke-26 dunia itu pada set seterusnya untuk merampas set kedua dengan kemenangan 22-20 sekali gus mengheret aksi ke set ketiga.

Kelebihan besar dimiliki Pearly-Thinaah selepas rehat ‘interval’ masih mampu dipadamkan Yu Lim-Seung Chae hingga kedua-dua pasangan terikat 18-18.

Namun, Pearly Tan-M. Thinaah lebih tenang bertahan sehingga memaksa lawan mereka melakukan kesilapan untuk mengesahkan kemenangan 21-18.

Menanti mereka di pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung Khamis nanti ialah pemenang antara pertemuan wakil Jepun, Rui Hirokami-Yuna Kato dan Francesca Corbett-Alisson Lee dari Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang berada di ranking ke-12 dunia turut melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi ‘straight set’ 21-16, 21-7.

Kejohanan Japan Masters 2023 merupakan pertandingan yang berstatus Super 500 dalam kalender Persekutuan Badminton Dunia (BWF).