Pemain perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong mengetuai cabaran lima lagi wakil negara mara ke pusingan kedua Kejohanan Japan Masters 2023 yang sedang berlangsung di Kumamoto, Jepun.

Beraksi menentang pemain ranking ke-27 dunia, Wang Tzu Wei jelas memperlihatkan Tze Yong cukup yakin dengan corak permainan ditampilkannya.

Baca Juga:

Ia jelas dapat disaksikan apabila beliau tidak diberikan cabaran sengit untuk menang 21-12, 21-11 untuk menempah pertemuan getir menentang pemain ranking nombor satu dunia, Viktor Axelsen.

Sementara itu, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei lebih awal memastikan tempat ke pusingan kedua selepas mudah menewaskan pasangan beregu campuran dari Chinese Taipei, Wei Chun Wei-Nicole Gonzales Chan 21-11, 21-10.

Satu slot ke suku akhir sudah pasti menjadi milik Malaysia selepas Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akan berhadapan dengan Tang Jie-Ee Wei setelah mereka mudah menundukkan Adam Hall-Julie Macpherson dari Scotland 21-11, 21-11.

Satu lagi gandingan beregu campuran negara turut mara selepas Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menewaskan pasangan Chinese Taipei, Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun dalam aksi tiga set 20-22, 21-13, 21-15.

Pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula berada di prestasi terbaik untuk menundukkan beregu ranking ke-10 dunia, Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Chinese Taipei.

Nasib jelas tidak memihak Lee Zii Jia apabila aksi sengit yang dipamerkannya ketika menentang Anders Antonsen tidak memihak beliau sekali gus memberikan kejayaan buat pemain Denmark tersebut dengan keputusan 21-18, 22-20.

Sementara itu, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani terpaksa menelan kepahitan tewas kepada pasangan yang baharu digandingkan, Rahmat Hidayat-Kevin Sanjaya Sukamuljo 19-21,14-21.

Manakala kecederaan yang dialami memaksa Anna Cheong-Teoh Mei Xing menarik diri ketika mereka sedang ketinggalan 7-17 pada set ketiga sewaktu bertemu wakil tuan rumah, Sayaka Hobara-Yui Suizu.

Dengan kemaraan lima pemain pada hari ini, ia bermakna Malaysia memiliki keseluruhan tujuh wakil ke pusingan kedua yang bermula esok pagi selepas Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Pearly Tan-M. Thinaah sudah mengesahkan kemaraan mereka semalam.