Leong Jun Hao terus mencipta sensasi dalam Kejohanan Badminton Japan Masters 2024 selepas berjaya melangkah ke pentas final saingan yang berlangsung di Kumamoto Gimnasium itu.

Selepas menundukkan lawan-lawan yang berada di ranking lebih baik berbandingnya seperti Lakshya Sen, Koki Watanabe dan Kodai Naraoka, kali ini giliran pemain ranking keenam dunia, Jonatan Christie pula menjadi mangsa Jun Hao.

Baca Juga:

Berdepan lawan yang jelas mempunyai kualiti yang cukup baik, pemain berusia 25 tahun itu jelas berdepan masalah pada set pertama. Ia jelas dibuktikan apabila Christie mudah untuk mencuri set pertama dengan kemenangan 21-10.

Tersentak dengan kekalahan mudah itu, Jun Hao tampil lebih baik dengan memperkemaskan aksinya hingga membuatkan Christie mula berdepan kesukaran.

Selepas mendahului 11-9 pada rehat ‘interval’, anak kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu semakin meningkatkan permainannya untuk menang 21-18 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Aksi lebih dramatik disaksikan pada set ketiga dimana Leong Jun Hao kelihatan berada dalam keadaan kepenatan hingga membuatkan beliau ketinggalan 10-17.

Ketika peluangnya dilihat semakin sukar, beliau membuktikan semangat juang tinggi dengan enam mata berturut-turut dan kemudiannya mengikat kedudukan 18-18.

Kebangkitan itu jelas meningkatkan moral pemain ranking ke-30 dunia tersebut untuk tenang menyerap tekanan dan akhirnya mengesahkan kemaraan ke final dengan kemenangan 22-20.

Menanti Leong Jun Hao di pentas final esok ialah pemenang antara Viktor Axelsen dan Li Shi Feng yang akan beraksi sebentar lagi.

Sementara itu dua lagi wakil negara di separuh akhir Japan Masters 2024 iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong tewas kepada lawan masing-masing.