Leong Jun Hao melakar kejutan ke atas Kodai Naraoka sebentar tadi untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Japan Masters 2024 yang berlangsung di Gimnasium Kumamoto, Jepun.
Ia merupakan kemenangan ketiga buat Jun Hao ke atas lawan dari Jepun itu daripada empat pertemuan sesama mereka sejak remaja.
Baca Juga:
- Japan Masters 2024: Azriyn Ayub-Wee Kiong Kejutkan Sze Fei-Nur Izzuddin Untuk Ke Suku Akhir
- Japan Masters 2024: Justin Hoh Lepasi Pusingan Kelayakan, Bakal Hadapi Zii Jia
- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton
Berdepan lawan yang menghuni ranking keempat dunia jelas tidak langsung menggentarkan anak kelahiran Kuala Lumpur itu terutamanya pada set pertama dan ketiga.
Jun Hao cukup bersabar melayani corak permainan rali panjang yang diterapkan oleh Kodai Naraoka hingga berjaya mendahului 11-7.
Kelebihan tersebut digunakan sepenuhnya Jun Hao yang kini berada di ranking ke-31 dunia itu untuk menang set pertama 21-17.
Skrip berbeza berlaku pada set kedua apabila Jun Hao seperti kehilangan punca hingga menyebabkan beliau tewas mudah 9-21 untuk Naraoka mengheret aksi ke set ketiga.
Leong Jun Hao kemudiannya memperkemaskan aksi dan ia jelas kelihatan selepas mendahului 11-10 pada rehat ‘interval’ dimana beliau semakin garang dalam melakukan serangan ke arah Kodai Naraoka.
Keadaan itu memberikan ruang seluas-luasnya buat Jun Hao untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan kemenangan 21-16.
Menanti beliau di separuh akhir esok ialah Jonatan Christie dari Indonesia yang menewaskan seorang lagi wakil negara iaitu Lee Zii Jia dengan keputusan 12-21, 21-18, 21-18.
Dua lagi wakil negara yang turut mara ialah gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan pasangan berpengalaman Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.
Soon Huat-Shevon menundukkan wakil tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-16 21-13 manakala Azriyn-Wee Kiong pula menenepikan cabaran hebat pasangan Chinese Taipei, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin 21-19 21-19.
Sementara itu satu lagi wakil dalam beregu campuran iaitu Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tewas 16-21, 17-21 kepada Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand.