Karya anak Malaysia mendapat sambutan di peringkat antarabangsa apabila jersi yang dihasilkan oleh jenama tempatan mendapat sambutan hangat di laman yang menjual jersi klasik iaitu Classic Football Shirts.

Jenama yang dimaksudkan ialah Fitech Fitwear dimana syarikat itu pernah menghasilkan jersi bagi dua pasukan yang pernah mewarnai saingan Liga Malaysia iaitu UiTM FC dan juga Langkawi City FC.

Baca Juga:

Tinjauan Vocket FC di laman Classic Football Shirts mendapati laman yang berpangkalan di UK itu menjual empat jersi yang pernah dipakai oleh UiTM ketika beraksi dalam saingan Liga Super musim 2020 dan 2021 dan juga dua jersi Langkawi City yang beraksi dalam saingan Liga M3 pada musim 2022.

Sumber Gambar: Classic Football Shirts
Sumber Gambar: Classic Football Shirts

Kesemua jersi ini dijual dengan harga £27.99 atau sekitar RM169 sehelai dan menurut pereka grafik bagi Fitech iaitu Syed Aldrin, jersi yang dijual mendapat sambutan hangat dari pelanggan.

“Di United Kingdom, mereka lebih berminat dengan reka bentuk jersi berbanding jenama pengeluar dan setakat ini jersi yang dihasilkan oleh pihak kami mendapat sambutan hangat di sana.

“Kami sangat berbesar hati kerana syarikat besar seperti CFS menghargai jersi yang kami hasilkan dan meletakkannya di atas talian yang mana memberikan peluang untuk peminat dari serata dunia bagi mendapatkan jersi tersebut sekaligus memperkenalkan jenama kami di peringkat antarabangsa,” kata Syed.

Perkara ini menjadi bukti bahawa karya anak Malaysia mampu untuk melangkah lebih jauh khususnya di peringkat antarabangsa dan alangkah lebih baik jika lebih banyak jenama sukan tempatan yang mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.