Keputusan Lionel Messi bersara daripada kancah bola sepak antarabangsa telah meninggalkan tugas besar yang perlu dipikul oleh penggantinya selepas ini buat skuad kebangsaan Argentina.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Messi telah mengumumkan bahawa kariernya bersama Argentina sudah berakhir.
Keadaan yang membolehkan beliau bersara sebagai kapten selepas berjaya memenangi Piala Dunia 2022 serta merasakan sudah ‘tiada apa lagi yang mampu diberikan’ bersama jersi biru langit dan putih itu.
Legasi Jersi 10 Argentina
Selepas mengumpul 207 penampilan dalam karier bola sepak antarabangsa yang cukup gemilang, pemenang lapan kali Ballon d’Or itu meninggalkan legasi luar biasa, selain jersi nombor 10 yang pastinya memberi tekanan besar kepada pemain seterusnya yang bakal mewarisinya daripada Messi dan mendiang Diego Maradona sebelum ini.
Menurut laporan Sport Bible, pemain tersebut sudah dikenal pasti namun dengan satu syarat tertentu.
Difahamkan nasib jersi nombor ikonik tersebut bergantung kepada masa depan ketua jurulatih Lionel Scaloni yang membawa Argentina menjuarai Piala Dunia di Qatar pada 2022 dan mengemudi mereka sehingga ke final pada 2026.
Pengendali berusia 48 tahun itu telah memimpin pasukan sejak 2018 dan dijangka berunding mengenai kontrak baharu dalam beberapa bulan akan datang.
Sekiranya perjanjian tersebut berjaya dimuktamadkan, jersi nombor 10 milik Messi dilaporkan akan diwariskan kepada pemain tengah menyerang berusia 21 tahun, Nico Paz.
Dilahirkan di Sepanyol namun merupakan anak kepada bekas pemain antarabangsa Argentina, Paz merupakan produk akademi Real Madrid Castilla sebelum menyertai kelab Serie A, Como pada 2024 selepas membuat lapan penampilan bersama skuad utama gergasi Sepanyol itu.
Beliau kini dianggap sebagai antara bakat muda paling menarik di posisi serangan dalam bola sepak Eropah, satu reputasi yang dibina hasil prestasinya yang cemerlang di bawah kendalian ketua jurulatih, Cesc Fabregas.
Paz yang telah membuat 11 penampilan bersama Argentina, menjaringkan 19 gol dalam 77 penampilan di Itali dalam semua pertandingan.
Kepulangannya ke Santiago Bernabeu juga sering diperkatakan pada setiap jendela perpindahan sejak beliau meninggalkan Real Madrid.