Bintang Argentina, Lionel Messi telah mengumumkan persaraannya daripada kancah bola sepak antarabangsa.

Perkembangan terkini tersebut disahkan sendiri pemenang lapan kali Ballon d’Or itu menerusi satu kenyataan rasmi dikeluarkan di laman Instagram peribadi miliknya.

Messi
Kredit Foto: PATRICIA DE MELO MOREIRA / AFP

Messi Ucap Selamat Tinggal Buat Argentina

“Selepas tempoh yang berlalu sejak final itu dan setelah banyak memikirkannya, saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa saya mengambil keputusan untuk bersara daripada pasukan kebangsaa.”

“Ia merupakan satu keputusan yang sangat menyakitkan dan masih menyakitkan hati, tetapi saya faham bahawa sudah tiba masanya.”

“Saya bersumpah bahawa saya sentiasa memberikan segala-galanya, bukan hanya pada tahun-tahun terakhir ketika kami memenangi segala-galanya, malah sebelum itu juga.”

“Saya sentiasa berjuang dan memberikan segala yang saya ada untuk jersi ini, untuk memberikan kegembiraan kepada anda semua dan membuatkan anda berasa bangga menjadi rakyat Argentina melalui bola sepak.”

“Masa semakin singkat dan beberapa fasa dalam kehidupan semakin berakhir dan ini adalah salah satu daripadanya yang amat menyakitkan hati saya.”

“Saya mencintai, pernah mencintai dan akan sentiasa mencintai peluang untuk bersama pasukan kebangsaan. Saya telah memberikan segala yang saya ada, saya sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diberikan. Selain itu, terdapat pemain-pemain muda yang sangat berbakat di belakang saya yang layak untuk berada di sini.”

“Terima kasih atas segala kasih sayang yang diberikan sepanjang 20 tahun ini. Saya akan sangat merindui mendengar sorakan anda semua dari dalam padang. Kini saya akan menjadi salah seorang daripada anda, sentiasa memberikan sokongan dan bersorak dari luar (ketika susah mahupun senang, lebih-lebih lagi ketika susah).”

“Terima kasih kepada keluarga saya kerana sentiasa berada di sisi, menemani saya dalam perjalanan yang begitu indah tetapi penuh dengan cabaran ini.”

“Terima kasih kepada setiap jurulatih, rakan sepasukan dan pihak pengurusan yang pernah bersama saya sepanjang perjalanan ini. Saya membawa pulang kenangan dan detik-detik yang tidak akan pernah saya lupakan.”

“Saya pergi dengan ketenangan dan rasa bangga kerana telah menghadiahkan, bersama rakan-rakan sepasukan, detik-detik yang menjadi impian. Sungguh gila dapat melalui semua ini bersama anda. Saya sayangkan anda semua!”

”Terima kasih Tuhan kerana menjadikan saya seorang rakyat Argentina. Ayuh Argentina!”

“Kata-kata ini saya tulis pada 21 Julai, dua hari selepas final. Hari ini, selepas apa yang berlaku kepada ayah saya, saya lebih yakin dengan keputusan ini berbanding sebelum ini,” tambah Messi lagi.

Sepanyol
Kredit Foto: TIMOTHY A. CLARY / AFP

Kerjaya gemilang Messi bersama pasukan kebangsaan merangkumi kejayaan menjulang trofi Piala Dunia 2022, dua pingat naib juara pada 2014 dan 2026, dua gelaran Copa America pada 2021 dan 2024, serta tiga pingat naib juara pada 2007, 2015 dan 2016.

Messi turut memenangi anugerah Golden Ball sebagai pemain terbaik pada Piala Dunia 2014 dan 2022, selain menerima anugerah sama dalam kejohanan Copa America 2015 dan 2021.