Bekas pemain tengah Arsenal, Jorginho mendedahkan sebab di sebalik keputusannya meninggalkan kelab London Utara itu, dengan mengakui bahawa beliau bergelut untuk mengekalkan minatnya terhadap bola sepak dalam bulan-bulan terakhirnya di Emirates.

Pemain antarabangsa Itali itu lebih banyak memainkan peranan sebagai pemain sokongan di bawah kendalian Mikel Arteta dan mengakui bahawa kekurangan masa bermain serta fokus taktikal yang terlalu rigid menyukarkannya untuk berasa penting dalam skuad.

Jorginho mengakui bahawa keputusannya meninggalkan Arsenal sebagai ejen bebas pada musim panas lalu didorong oleh keperluan asas untuk kembali menemukan kegembiraannya di atas padang.

Selepas berpindah dari Chelsea ke Arsenal pada tahun 2023, pemain tengah berpengalaman itu semakin kerap digunakan sebagai pemain simpanan berbanding kesebelasan utama, yang akhirnya memberi kesan terhadap keadaan mentalnya dalam menikmati permainan.

Alasan Jorginho Tinggalkan Arsenal

Beliau kemudian menandatangani kontrak bersama Flamengo secara perpindahan percuma selepas pengunduran dirinya dari Arsenal disahkan.

“Saya mahu berasa hidup dan penting untuk pasukan,” ujar Jorginho menurut sumber laporan Goal.

“Apabila seseorang pemain tidak berada di atas padang, sukar untuk kekal bermotivasi. Saya rasa saya perlu pergi ke tempat di mana saya boleh bermain dengan penuh kegembiraan.”

Pemain tengah itu mencatatkan 79 penampilan bersama The Gunners, namun hanya 27 daripadanya hadir sebagai kesebelasan utama.

Selain isu masa bermain, Jorginho turut mendedahkan tentang persekitaran taktikal intensif yang diterapkan oleh Mikel Arteta.

Arsenal kini terkenal dengan pendekatan teliti mereka terhadap situasi bola mati, satu strategi yang diibaratkan Jorginho seperti kerja sekolah yang membosankan walaupun ia jelas memberikan hasil.

“Ia memang terasa seperti kerja sekolah, itulah realitinya. Tetapi apabila anda buat ‘homework’ dan kemudian hadapi ujian, anda akan dapat keputusan yang baik,” kata Jorginho.

“Saya rasa orang ramai kini semakin sedar tentang kepentingan bola mati… Kenapa ia jadi masalah untuk beri lebih fokus dan usaha terhadapnya, sedangkan hasilnya membuat semua orang gembira?”

“Tetapi hakikatnya, jika anda hanya fokus kepada satu perkara sahaja, kemudian melupakan aspek bola sepak itu sendiri, sudah tentu anda tidak akan menghasilkan permainan yang cantik. Jadi bagi saya, semuanya tentang keseimbangan.”

“Mungkin, apabila anda terlalu fokus kepada keputusan dan memberi tumpuan melampau kepada satu aspek, iaitu bola mati ketika ini, maka bahagian lain, iaitu permainan bola sepak itu sendiri, sedikit terabai, boleh dikatakan begitu. Tetapi bola sepak sentiasa berkembang.”

Sumber