Legenda Paraguay, Jose Luis Chilavert cukup dikenali sebagai seorang bekas penjaga gol yang cukup tangkas dan begitu tajam ketika mengambil sepakan percuma.
Sebagai rekod, Chilavert merupakan penjaring kedua terbanyak dalam kalangan penjaga gol apabila beliau berjaya menyumbat 67 gol dimana 59 daripadanya terhasil di peringkat kelab.
Baca Juga:
- Ledakan Kaki Kiri Berbisa Aset Bernilai Jose Luis Chilavert
- Ronaldinho Dibenarkan Keluar Penjara Paraguay Dengan Ikat Jamin RM7 Juta
- Roque Santa Cruz: Masih Beraksi Pada Usia Hampir 44 Tahun, Ini Rekod Dipegangnya

Beliau juga menjadi satu-satunya penjaga gol dalam sejarah bola sepak dunia yang berjaya meledakkan hatrik setelah menyempurnakan tiga sepakan penalti ketika membantu Velez Sarsfield mencatatkan kemenangan selesa 6-1 ke atas Ferro Carril Oeste pada 28 November 1999.
Perjuangan Lebih Besar Buat Chilavert
Di sebalik kisah hebat itu, Chilavert turut mempunyai sisi yang cukup menarik untuk diperkatakan sisi yang jarang diperkatakan iaitu keberanian dan prinsip teguh dalam memperjuangkan suara rakyatnya sendiri.
Pada tahun 1999 ketika Paraguay menjadi tuan rumah Copa America, Chilavert telah membuat keputusan yang mengejutkan banyak pihak apabila beliau memilih untuk memboikot kejohanan tersebut.
Bagi kebanyakan pemain, beraksi di depan penyokong sendiri di pentas antarabangsa adalah impian seumur hidup.
Namun bagi Chilavert, beliau melihat sesuatu yang lebih penting daripada bola sepak dan perkara tersebut melibatkan kesejahteraan rakyat.
Chilavert melihat penganjuran kejohanan besar seperti itu tidak memberikan manfaat buat rakyat Paraguay ketika negara tersebut berdepan krisis.
Beliau melihat wang penganjuran kejohanan itu sepatutnya disalurkan untuk kebajikan rakyat Paraguay.
“Saya merayu kepada anda semua supaya berfikir semula. Kita tidak boleh terus bertelagah sesama sendiri.”
“Negara saya tidak berada dalam kedudukan untuk menganjurkan kejohanan ini,” ujar Chilavert dalam satu kenyataannya di El Pais pada 1999.
“Paraguay mempunyai masalah sosial yang sangat serius dan saya berasa malu apabila mereka memilih Lino Oviedo sebagai pengerusi jawatankuasa penganjur iaitu seseorang yang tidak pernah peduli tentang bola sepak atau sukan.”
“Disebabkan kenyataan itu, mereka telah mengisytiharkan saya sebagai persona non grata [orang yang tidak disukai kerana bersuara menentang keputusan penganjuran].”
“Chilavert bukan untuk dijual. Saya tidak akan bermain untuk Paraguay,” tambah beliau lagi.
Keputusan itu nyata bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi bagi seorang ikon kebangsaan yang menjadi kebanggaan rakyat Paraguay.
Bagaimanapun bagi dirinya yang berprinsip kuat, maruah dan integriti jauh lebih berharga daripada sorakan di stadium.
Beliau yang kini berusia 60 tahun terjun ke dalam bidang politik dalam usahanya memperjuangkan nasib rakyat apabila bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Paraguay pada 2023.
Namun usahanya tidak membuahkan hasil apabila sekadar meraih tempat kelima dengan 24,259 undian diterima yang menyaksikan Santiago Pena dipilih sebagai presiden ke-52 buat Paraguay.