Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) pada semua kenderaan pengangkutan awam.
Penolong Pengarah (Operasi) JPJ, Mohd Alifarihan Abdullah berkata, peraturan sedia ada pada masa ini hanya mewajibkan kenderaan tersebut dilengkapi dengan sistem GPS, petik Malay Mail.
Baca Juga:
- Konfrontasi Dengan Penunggang Basikal, Pemandu Bas Rapid Diarah Masuk Sesi Kaunseling Kerana Gagal Kawal Emosi

- ‘Pemandu Bas Cuba Nak Bun*h Kami’ – Dakwa Geng Kayuh Basikal

“Lesen dan syarat bagi kenderaan pengangkutan awam setakat ini hanya mewajibkan penggunaan GPS, sebab itulah cadangan untuk mewajibkan dashcam dilihat sebagai satu idea yang baik.
“Tetapi buat masa ini, hanya GPS yang diwajibkan,” katanya dalam satu forum bertajuk ‘Jalan Raya Bukan Milik Geng Basikal’ yang berlangsung di Pantai Dalam baru-baru ini.
Cadangan ini timbul susulan satu video tular yang menunjukkan sebuah bas pengantara MRT memandu terlalu dekat dengan sekumpulan penunggang basikal yang berkayuh secara beriringan di jalan sempit, sehingga mencetuskan sedikit konfrontasi.
Rapid KL telah melancarkan siasatan dalaman berhubung insiden tersebut.
Salah seorang penunggang basikal yang terlibat telah membangkitkan isu itu semasa forum berlangsung.
Turut serta dalam panel forum ialah Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Khairul Azhar Ismail.
Menurut Khairul, walaupun kesalahan melibatkan penunggang basikal jarang sampai ke pengetahuan polis, pemandu kenderaan bermotor lebih kerap ditahan kerana kesalahan seperti memandu di bawah pengaruh alkohol atau menyalahgunakan lorong jalan.
Ketika tuntutan awam semakin meningkat untuk infrastruktur yang lebih selamat dan peraturan yang lebih jelas, beliau menegaskan pentingnya tanggungjawab bersama di jalan raya.
“Faham hak dan tanggungjawab masing-masing itu kunci utama. Kalau semua ikut peraturan, keselamatan akan bertambah baik, bukan saja untuk penunggang basikal tapi untuk semua pengguna jalan raya,” katanya.