Pemain yang pernah beraksi bersama Chelsea dan Tottenham Hotspur, Jude Soonsup-Bell telah menyatakan persetujuan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Thailand.
Soonsup-Bell layak untuk mewakili Thailand kerana ibunya, Hannah merupakan kelahiran negara jiran tersebut.
Baca Juga:
- Madame Pang Kini Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand

- 5 Impak Utama Perpindahan Pemain Ke J.League Kepada Liga Bola Sepak Thailand

- Ini 6 Calon Ketua Jurulatih Baharu Yang Dipertimbangkan FA Thailand

Jude Soonsup-Bell Terima Pelawaan Thailand
Perkembangan terkini itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam atau yang lebih mesra dipanggil Madame Pang di laman sosial peribadi miliknya semalam.
“Berita gembira! Jude Soonsup-Bell sah mahu beraksi untuk skuad kebangsaan Thailand – Madam Pang segera uruskan dokumen.”
“Jude Soonsup-Bell, pemain tengah kacukan Thai-Inggeris yang kini beraksi bersama kelab Grimsby Town dalam saingan English League Two telah membuat keputusan untuk menerima pelawaan dan memilih untuk mewakili pasukan kebangsaan Thailand.”
“Perkara itu disahkan hasil koordinasi “Madam Pang” Nualphan Lamsam, Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand sejak tahun lalu, yang kini segera menguruskan segala dokumen berkaitan bersama ketua jurulatih Changsuek, Anthony Hudson.”
“Hudson turut bersetuju dan menamakan pemain tersebut sebagai salah satu pilihan untuk skuad bagi aksi antarabangsa terakhir pada jendela FIFA Day bulan November 2025.”
“Pasukan kebangsaan Thailand dijadualkan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Singapura pada 13 November 2025, sebelum bertemu Sri Lanka dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027, perlawanan ke-5 kumpulan, pada 18 November 2025.”
Untuk rekod, Jude Soonsup-Bell yang kini berusia 21 tahun menandatangani kontrak profesional pertamanya bersama Chelsea pada usia 17 tahun dan melakukan penampilan sulung bersama skuad utama dalam saingan Piala Carabao menentang Brentford.
Pada tahun 2023, beliau berpindah ke Tottenham Hotspur dan beraksi terutamanya bersama skuad B-21 sebelum berhijrah ke Cordoba, kelab dalam saingan Segunda División Sepanyol dan kini menyertai Grimsby Town di English League Two, dengan lapan penampilan setakat ini.
Selain itu, Jude juga pernah mewakili skuad remaja England dari peringkat B-15 hingga B-19.