Perhatian khusus perlu diberikan kepada sembilan negeri yang mencatatkan tahap pertumbuhan dan pendapatan yang lebih rendah daripada median pendapatan negara memandangkan data semasa menunjukkan jurang dengan lima negeri lain semakin melebar dan membimbangkan, kata seorang pakar ekonomi.

Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, yang merupakan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), berkata kira-kira 49 peratus penduduk Malaysia tinggal di sembilan negeri iaitu Terengganu, Negeri Sembilan, Sarawak, Pahang, Perlis, Sabah, Perak, Kedah dan Kelantan.

Baca Juga:

“Data pendapatan tahunan juga menunjukkan jurang yang semakin melebar. Jurang antara negeri terkaya (Selangor) dan termiskin (Kelantan) semakin besar, RM2,593 pada 2009 kepada RM6,369 pada 2022. Pertumbuhan pendapatan perlahan dan kekal rendah dalam sembilan negeri,” katanya.

Pendapatan isi rumah terdiri daripada pendapatan daripada gaji, bekerja sendiri dan pendapatan daripada pelaburan.

Noor Azlan berkata jurang pembangunan dan pendapatan antara lima negeri terkemuka, yang dilabel negeri lokomotif, dan sembilan negeri lain membimbangkan.

“Pertumbuhan dan pembangunan ekonomi mesti inklusif. Setiap negeri, setiap rakyat perlu menikmatinya. Saya yakin ini antara teras ekonomi Madani.

“Rancangan khas pembangunan negeri perlu, bajet tahunan negeri tidak mencukupi. Selain rancangan induk negara dan pembangunan sektor, kita mesti memberi perhatian khusus kepada setiap negeri terutama negeri yang perlu mengejar negeri lokomotif.

“Rancangan pembangunan khas ke negeri-negeri adalah sangat penting. Negeri dan wilayah lokomotif tidak boleh leka dan perlu terus berkembang. Pastikan sifat lokomotif itu mampan dan semua orang boleh mendapat manfaat,” katanya.

Lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka dilabelkan sebagai negeri lokomotif kerana mencatatkan tahap pertumbuhan dan pendapatan yang lebih tinggi daripada purata nasional.

Kira-kira 62 peratus daripada keluaran dalam negara kasar Malaysia disumbangkan oleh lima negeri, yang berada dalam zon pertumbuhan dan pendapatan tinggi.

Noor Azlan berkata, sasaran khas pertumbuhan dan pembangunan negeri perlu diumumkan kepada umum manakala pelaksanaan dan kemajuan perlu dipantau dan dilaporkan.

“Pimpinan negeri mesti memimpin dan bertanggungjawab. Tidak semestinya sepadan dengan negeri atau wilayah lokomotif tetapi cukup sekadar mengurangkan jurang mengikut perancangan dan menyamainya satu hari nanti,” katanya.

Tambahnya, pelan pembangunan strategik negeri mesti diwujudkan dan kerjasama antara persekutuan dan negeri-negeri perlu diperkukuh manakala Kementerian Ekonomi tidak boleh bertumpu kepada Putrajaya.

“Sebagai pakar ekonomi, saya menyeru semua orang untuk bekerjasama untuk pembangunan ekonomi, perbezaan politik tidak boleh menjadi penghalang kepada pembangunan ekonomi kerana rakyat akan menderita,” katanya.