Isu mandi pagi telah mencetuskan perdebatan hangat di kalangan rakyat Malaysia.
Bermula daripada hantaran seorang pengguna media sosial di Threads yang menyeru agar masyarakat “menormalkan mandi pagi.”
Kini ia menjadi topik yang mencetuskan perbincangan panas tentang kebersihan diri, budaya, dan sensitiviti peribadi.
Pengguna media sosial menulis, “If you stay in Malaysia, can you please normalise take a shower in the morning? Or at least wash your hair”.
Teguran ini mendapat sokongan daripada sesetengah pihak yang bersetuju bahawa mandi pagi adalah tanda kebersihan diri, terutama di iklim Malaysia yang panas dan lembap.
Selain itu, ia adalah perkara paling asas mengenai tahap kebersihan seseorang.
Namun, ramai juga yang membangkitkan faktor lain seperti tabiat mandi malam sebelum tidur, suasana bilik berhawa dingin, dan masa yang terhad di pagi hari sebagai punca kenapa ada sesetengah orang memilih untuk tidak mandi pagi.
Seperti yang dikatakan oleh seorang netizen, “Kalau tidur dalam aircond, di mana nak berpeluh? Lagipun mandi malam dah cukup, tak perlu sampai dua kali sehari.”
Ada juga yang memberi pandangan dari sisi budaya.
Seorang pengguna menulis, “Kawan saya dulu cakap, kalau basuh kepala pagi-pagi, nanti ilmu belajar atau rezeki hilang.”
Walaupun pandangan ini tidak masuk akal, tetapi ia menggambarkan kepercayaan tradisional.
Sebagai sebuah negara pelbagai kaum, perbincangan ini turut menyentuh isu budaya.
Ada yang mengaitkan tabiat mandi dengan etnik tertentu, tetapi ada juga yang menolak pandangan ini.
Seorang pengguna tegas menulis, “This is personal habit, NOT a race thing nor culture.”
Ada juga netizen yang mendakwa bahawa tabiat tidak mandi pagi ini boleh dilihat melalui warga asing yang bekerja di Malaysia.
Kebanyakan mereka yang pertama kali ke Malaysia pasti tidak biasa dengan budaya mandi 3 kali sehari.
Dalam masa yang sama, beberapa pengguna berkongsi pengalaman unik mereka, termasuk larangan membasuh rambut selama 100 hari jika ada ahli keluarga meninggal, yang berkait dengan adat kaum tertentu.